
MARAN: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff telah menziarahi keluarga amilin PAS yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal baru-baru ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja di Temerloh itu, meluangkan masa menziarahi, dan mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit di kediaman keluarga berkenaan di FELDA Sungai Nerek, di sini semalam.
Siti Zailah, turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham dan menasihatkan mereka berurusan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat berdekatan berkaitan kebajikan anak-anak Allahyarham.
“Semoga balu dan keluarga kuatkan semangat dan bersabar serta redha dengan ujian serta takdir yang berlaku ini, disamping terus dapat menjaga anak-anak dengan baik,” pesan beliau.
Allahyarham Helmi Osman, 47, kemalangan ketika dalam perjalanan menghadiri kuliah Maghrib Tuan Guru Mohd Baki Othman di Madarasah Darul Ridzwan Kampung Lanting, Cenor pada 17 Januari lalu.
Arwah yang merupakan aktivis Khidmat Malaysia Maran dan Jabatan Amal Maran disahkan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada petang Jumaat kelmarin dahulu.
Allahyarham yang juga berkhidmat sebagai Siak di Masjid Ubudiah FELDA Sungai Nerek disamping itu turut menjual dan mengambil upah membuat panah jenis tradisional.
Allahyarham Helmi meninggalkan seorang balu, Rohana Kassim, 44, yang tidak berkerja serta empat anak yang masih bersekolah, Muhammad Abu Bakar Assidiq 14, kembar Siti Hajar dan Siti Sarah, 12, serta Muhammad Assyafie, 7.
Hadir sama dalam ziarah tersebut adalah ADUN Cenor, Ustaz Mujibburahman Ishak dan ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil serta Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.
Bagi meringankan beban keluarga Allahyarham, orang ramai bolehlah menyalurkan bantuan menerusi akaun Rohana Kasim (balu) di akaun Bank Islam 06028024510406. – HARAKAHDAILY 25/1/2022















