Umar berdoa agar dikurniakan sifat adil

Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 26)

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Daripada Urwah, katanya: ‘Umar ra, apabila didatangi 2 pihak bertelingkah, beliau duduk di atas 2 lututnya, lalu berdoa:

اللهم أعني عليهما، فإن كل واحد منهما يردني على ديني.

Maksudnya: ‘Ya Allah! Tolonglah aku terhadap keduanya, kerana setiap dari mereka berdua inginkan aku (dan memudaratkan) agama aku’

- Advertisement -

Umar seorang yang tegas dengan hukum syarak. Beliau seorang yang berani. Fizikalnya hebat. Namun dalam menghadapi kes berkaitan pihak-pihak yang bertelingkah, Umar tetap berdoa kepada Allah, memohon agar dikurniakan sifat adil. Ini menunjukkan menegakkan keadilan di antara pihak bertelingkah adalah perkara yang sangat sensitif, sangat penting dan mesti diberi perhatian yang serius.

Kata-kata Umar ini juga mengingatkan kita agar sentiasa berdoa kepada Allah agar dibantu kita ini dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Pemimpin yang diberi tanggungjawab, memegang tugasan dan amanah jawatan, mestilah sentiasa bermohon kepada Allah. Bertugas tidak hanya bergantung kepada kemampuan diri sendiri, merasakan diri hebat dapat membuat segala perkara, tetapi bergantung kepada Yang Maha Berkuasa. Tanpa pertolongan Allah, kita akan kalah.

Kata-kata Umar membayangkan bahawa di zamannya juga ada orang yang tidak baik. Bukan semua orang baik seperti Umar al-Khattab.

Di zaman kita tentunya lebih-lebih lagi. Pihak bertelingkah ingin mengambil kesempatan dari hakim yang menjatuhkan hukuman. Mereka yang mahu menang kes tentunya berusaha sedaya-upaya – by hook, or by crook– membuat apa sahaja walaupun menggadai hukum syarak.

Oleh sebab besarnya perkara ini, Umar berdoa dalam keadaan berlutut, memohon dari Allah dikuatkan imannya menghadapi pihak-pihak bertelingkah supaya keadilan benar-benar dapat ditegakkan.

Kepada para pemimpin, hakim di mahkamah, pengurus, pentadbir di semua agensi, berdoalah agar anda diberi kekuatan menegakkan keadilan seperti yang dipohon oleh Umar al-Khattab ini. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu

- Advertisement -