
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Petisyen digerakkan oleh NGO bagi membuat gesaan kepada kerajaan untuk menghentikan aktiviti pembalakan dianggap tidak perlu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan melalui Majlis Perhutanan Negara mengenakan prosedur yang ketat melaksanakan aktiviti tersebut.
Katanya, selain itu pembalakan di Malaysia juga dipantau oleh Environmental Impact Assessment (EIA) bagi memastikan kelestarian alam sekitar terjamin.
“Ada banyak faktor (punca berlaku banjir), tidak boleh kata sebab balak sahaja, kalau macam itu macam mana banjir di Selangor sehingga tenggelam rumah.
“Kayu balak ada tempoh usianya, kalau tidak tebang dia menjejaskan pertumbuhan kayu lain, kemungkinan pokok itu tumbang, jadi itu kena tebang juga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Darulnaim hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 200,000 petisyen dilakukan Angkatan Belia Islam Malaysia dan Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia.
Langkah itu bagi mengesa kerajaan mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, kerja penebangan hutan sudah dihentikan selama tiga bulan kerana musim hujan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kayu balak yang hanyut bersama air banjir berpunca dari aktiviti pembalakan haram dan balak belum sempat dialihkan ke beta (kawasan simpanan).
“Pembalakan haram kita tidak nafikan ia mungkin satu lagi masalah kerana tidak terikat peraturan EIA dan undang-undang lain yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Peneroka haram biarkan begitu sahaja, dan apabila berlaku banjir balak yang ditebang secara haram itu hanyut,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2022











