Pengalihan utiliti projek ECRL fasa kelulusan permit

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Permohonan kerja-kerja pengalihan utiliti bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa kelulusan permit kerja.

Menurut Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) kerja-kerja tersebut dijangka mula dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga Disember 2022.

- Advertisement -

Katanya sebelum pembinaan landasan ECRL boleh mula dilaksanakan, antara perkara utama yang perlu dilakukan pengalihan utiliti sedia ada di kawasan yang terlibat dengan struktur landasan ECRL.

“Utiliti yang dikenal pasti di sekitar kawasan pembinaan struktur ‘pilecap’ dan landasan bawah jalan perlu dialih terlebih dahulu.

“Bagi proses pengalihan utiliti tersebut, KUTT bertanggungjawab menguruskan kelulusan izin lalu, kelulusan permit kerja, kelulusan sijil siap kerja dan pemulangan wang deposit korek gali pemohon bagi mana-mana kawasan yang melibatkan kelulusan Pihak Berkuasa Melulus/Tempatan bagi kerja-kerja pengalihan tersebut.

“KUTT sebagai pemegang permit juga bertanggungjawab memantau kerja-kerja korekgali bagi permohonan-permohonan korek gali di bawah pengurusannya,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

KUTT merupakan Pusat Pengurusan Infrastruktur Utiliti Negeri Terengganu dan Pusat Sehenti Berpusat untuk permohonan korek gali utiliti.

Menurut KUTT pihaknya akan memantau kerja-kerja pengalihan tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan kerja-kerja yang dijalankan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pemilik jalan.

Selain itu katanya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar serta pengguna jalan.

Oleh itu KUTT mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat sekiranya terdapat kerja-kerja yang dijalankan kontraktor menjejaskan keselesaan dan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

Katanya tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam daripada masa maklumat yang diterima. Aduan boleh disalur melalui talian 09-628 4612.

Projek ECRL melibatkan jarak keseluruhan 665 kilometer merentasi Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ia dijangka siap pada suku akhir 2026.

Projek ECRL menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang pada kelajuan 160 km/j dan 80 km/j bagi kereta api kargo dijangka dapat mengurangkan tempoh perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam jalan darat. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -