
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Konflik dalaman melibatkan gabungan parti politik antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tercetus bukanlah suatu percanggahan pemikiran yang besar, melainkan beberapa isu berkaitan ketidakpuasan hati membabitkan salah laku politik parti tertentu.
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, disebabkan hal-hal sedemikian mendorong ke arah perpecahan gabungan kerjasama politik yang terjalin di antara ketiga-tiga parti politik berkenaan.
Menurutnya, MN dan PN perlu bangkit dan bersatu bahawasanya musuh utama mereka bukannya sesama sendiri, tetapi Pakatan Harapan (PH) yang perlu ditolak semua pihak.
“Kalaulah kesatuan itu lebih kuat, maka mengapa tidak bersatu dan menolak kepada perpecahan, ini akan membawa kekuatan kepada parti politik Melayu-Islam, kita boleh melihat bagaimana mereka mengolah suasana politik pada hari ini.
“Majlis Syura Ulamak ini berperanan secara khusus untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak, maka mereka mengambil pendirian dengan berasaskan kepada dalil al-Quran dan pandangan daripada ilmuwan sendiri yang mahukan kepada orang-orang Islam ini bersatu.
“Maka atas dasar tersebut, tidak ada hujah bagi mana-mana parti politik untuk mereka berpecah antara satu sama lain, itu asasnya.
“Kenapa perlu kita berpecah, sedangkan bersatu itu memberikan lebih kekuatan daripada berpecah yang memberikan kita kelemahan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily berhubung kenyataan Majlis Syura Ulamak untuk memperkasakan MN dan PN.
Terdahulu, Muzakarah Majlis Syura Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
Persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang 29 Disember lalu bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.
Susulan itu, Tuan Guru Hashim berkata, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
Menurutnya lagi, semangat ta’awun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.
Mohd Syakir menambah, banyak tafsiran ayat al-Quran mengajak umat Islam untuk bersatu seperti di dalam Surah Anbiya’ ayat 92 yang membawa maksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu, dan aku adalah Tuhan kamu, maka beribadahlah”.
“Kemudian dari sudut yang lain, Allah berfirman dalam Surah Aali Imran ayat 103 yang bermaksud: Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
Malah menurutnya, ulama kontemporari seperti Sheikh Yusof al-Qardawi turut berpandangan perlunya kepada penyatuan umat Islam bagi mengelakkan perpecahan yang mampu memudaratkan.
Katanya, antara yang disebut beliau jika berlaku perpecahan disebabkan pemikiran, tinggalkan perkara berkaitan dengan furuk tetapi usahakan untuk mengukuhkan perkara yang dasar (utama) iaitu kesatuan umat Islam. – HARAKAHDAILY 5/1/2022











