
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Keyakinan serta kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan parti perlu ada dalam diri setiap ahli PAS dalam menerima setiap ketetapan yang diputuskan parti terutamanya di peringkat kepimpinan tertinggi.
Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata dalam usaha memperkasa semangat kerjasama antara ahli PAS, akhlak berjemaah perlu disemai melalui pelbagai aktiviti di dalam parti.
Menurut beliau, antaranya dengan mengaplikasikan usrah dan tamrin yang merupakan wadah tarbiah kepada ahli-ahli PAS.
Selain itu tambahnya, kepimpinan tertinggi juga memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat secara telus kepada kepimpinan di bawah bagi mengelakkan kekeliruan serta percanggahan pandangan.
“Keperluan di peringkat tertinggi pula adalah untuk memastikan tidak ada salah komunikasi (misscommunication), kena pastikan maklumat dan arahan akan diberikan secara jelas kepada kepimpinan di bawah untuk bekerja.
“Arahan-arahan ini akan diberikan secara jelas sewaktu program-program munaqasyah (perbincangan khas) ucapan dasar presiden, ia akan dilakukan di peringkat negeri-negeri,” katanya kepada Harakahdaily berkaitan kenyataan Majlis Syura Ulamak, pada Khamis.
Sebelum ini, Muzakarah Majlis Syura Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
Persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang 29 Disember lalu bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.
Susulan itu, Tuan Guru Hashim berkata, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15.
Tambahnya, ia juga bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
Menurutnya lagi, semangat ta’awun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan. – HARAKAHDAILY 5/1/2022











