Banjir: Khidmat Malaysia P Pinang sedia teruskan misi bantuan

- Advertisement -

Oleh NAZRI ABD HAMID

NIBONG TEBAL:
Khidmat Malaysia (KM) Pulau Pinang yang telah melaksanakan tugas pasca banjir di Selangor sedia meneruskan misi ke Pahang pula.

Penasihat KM Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff telah melaksanakan amanah KM Pulau Pinang untuk menerajui pasukan pada kali ini dengan jayanya.

- Advertisement -

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi KM Hulu Langat, Zurk Ahmad yang telah menyediakan tempat penginapan, makan minum dan kebajikan petugas di sana.

“KM Pulau Pinang dengan seramai 114 orang petugas telah berjaya laksanakan misi pada kali ini dengan cemerlang dan berharap dapat meneruskan pada misi akan datang ke negeri Pahang pula,” ujarnya penuh semangat.

Katanya, seramai 188 orang relawan daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) kawasan dan negeri di sekitar Selangor, Yayasan Amirul Ummah, Team NGO Bikers, Team BTR, relawan dari UKM, Team Surau At Taqwa turut ditugaskan bersama pasukan itu tempoh hari.

Seramai 114 orang petugas telah berjaya dikumpulkan dari lima kawasan di Pulau Pinang.

Semasa di Hulu Langat, jelasnya pasukan itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama ditugaskan memasang saluran paip air sepanjang 2.6 km di perkampungan Orang Asli Bukit Kampung Donglau dengan 130 anggota JAM.

Tambahnya, kumpulan kedua membuat operasi clean and clear di Sekolah KAFA Integrasi Sungai Serai, SRITI Al-Mutadayyin dan agihan sumbangan ke rumah penduduk yang terjejas.

“Dengan berkat kegigihan beramal kerana Allah, kecerunan bukit 45 darjah itu dapat didaki bersama batang paip dengan mudah jika kita bermuafakat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2022

- Advertisement -