Usaha Perlis majukan produk pelancongan berjaya

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Komitmen Kerajaan Perlis dalam membangunkan produk pelancongan sangat membanggakan sehingga berjaya menarik perhatian pelancong untuk datang ke negeri ini.

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Ir Saifizi Saidon berkata jika sebelum ini Perlis hanya dijadikan destinasi persinggahan sebelum ke Langkawi tetapi tidak lagi sekarang.

“Saya dapat melihat sendiri kejayaan dan kesungguhan pihak kerajaan dalam memajukan pelancongan negeri.

- Advertisement -

“Kerjasama erat antara Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan telah membuahkan hasil yang sangat hebat untuk pelancongan negeri ini.

“Contohnya seperti di Kampung Tengah, Kuala Perlis ini yang telah dihias menjadi perkampungan berwarna warni,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak UniMAP menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk membantu penduduk di situ memasang lampu solar berhias.

“Insya-Allah, pihak FTKE sedang berusaha membantu pemasangan lampu berhias solar di sini sebagai usaha pihak universiti membantu masyarakat setempat.

“Saya juga melihat produk makanan boleh dijadikan idea baru untuk diketengahkan kepada masyarakat contohnya seperti projek satu keluarga, satu produk,” katanya lagi.

Ujarnya, pihak berwajib pula boleh menyalurkan bimbingan, peruntukan, peralatan dan pemasaran untuk membantu masyarakat sekitar menghasilkan produk masing-masing.

“Antara produk sedia ada yang boleh diketengahkan ialah putu kacang, putu beras, bepang, aneka pulut, ketam nipah dan beberapa makanan tradisi penduduk setempat.

“Saya juga berbangga dengan kerjasama masyarakat Kampung Tengah yang membuka ruang kepada kerajaan untuk mewarnakan rumah-rumah mereka sebagai projek pelancongan negeri,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya mencipta pelancongan di negeri kecil ini malah membina saingan baru bagi pelancongan di negeri lain dengan kelebihan geografi yang ada. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

- Advertisement -