
Oleh IBNU JANIE | Foto ANUAR IBRAHIM
PUCHONG: Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin menzahirkan rasa sedih apabila dimaklumkan bahawa Kampung Kenangan yang dilanda banjir sebenarnya baru sahaja ditimpa musibah kebakaran.
Menurutnya, kejadian itu sudah tentu memberi kesan yang mendalam kepada mangsa-mangsa yang terlibat yang terpaksa berdepan musibah yang berturut-turut.
“Mungkin dalam keadaan mereka masih bersedih kerana rumah terbakar tiba-tiba dilanda banjir pula. Yang menurut penduduk (banjir kali ini) yang terbesar dan kemusnahannya luar biasa.
“Walaupun tidak berlaku kehilangan nyawa, rumah hanyut dan sebagainya, tetapi kalau kita lihat daripada timbunan sampah, perabot-perabot dan tilam-tilam yang dibuang, kita dapat lihat kemusnahannya luar biasa,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian selepas mengedarkan sumbangan bantuan banjir PAS Kawasan Tangga Batu berupa 300 unit toto dan bantal kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Kenangan, di sini, kelmarin.
Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu berkata, beliau juga difahamkan daripada petugas Bilik Operasi Banjir Perikatan Nasional di situ bahawa kawasan kampung itu sedang berada pada fasa keempat.
“Fasa ini adalah fasa pemulihan di mana kita perlu membantu mereka untuk kembali memulakan semula kehidupan seperti biasa.
“Kita lihat antara yang mereka perlukan ialah seperti tilam, bantal baru, bagi menggantikan yang telah rosak teruk kerana banjir,” ujarnya.
Misi bantuan banjir ke Puchong kali ini adalah yang ketiga PAS Kawasan Tangga Batu ke kawasan-kawasan terjejas banjir di Selangor sebagai usaha meringankan beban mangsa-mangsa yang turut disertai oleh Timbalan Yang Dipertua, Rafie Ahmad dan Pengerusi JPRD PAS Pantai Kundur, Ramlan Amad.
Bantuan telah diterima oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional Selangor, Abdul Shukor Mustaffa dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Puchong, Ustaz Syed Mohd Faris Syed Roslan bagi pihak Bilik Gerakan Banjir Perikatan Nasional Puchong.
Sementara itu Abdul Shukor ketika ditemui sangat mengalu-alukan sumbangan tersebut.
“Terima kasih kepada bekas calon Perikatan Nasional DUN Kelebang, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Haji Bakri yang sudi hadir ke Puchong, melihat sendiri kemusnahan yang telah berlaku akibat banjir.
“Alhamdulillah apa yang disumbangkan itu akan dapat meringankan beban penduduk-penduduk di Puchong ini. Yang mana mereka memang mengalu-alukan sumbangan-sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/12/2021











