36 pusat tahfiz di Selangor terjejas akibat banjir

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KLANG:
Kira-kira 36 pusat pengajian tahfiz berdaftar di Selangor yang terkesan akibat banjir besar baru-baru ini dianggar menanggung kerugian lebih RM1 juta.

Kerosakan tersebut menjejaskan 3,600 pelajar, di mana mereka sekarang tidak dapat meneruskan pengajian.

Naib Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Malaysia (Permata Al Quraan), Muhammad Hafiz Mohd Haneefa berkata, kerugian tersebut termasuk kenderaan, bangunan sekolah dan lain-lain kelengkapan yang ditenggelami banjir.

Selain itu kitab-kitab bahasa Arab, di samping peralatan sumbangan Mara.

- Advertisement -

“Setengah sekolah mengalami kerugian sehingga RM300,000. Jumlah itu tidak termasuk kenderaan yang ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Misi Bantuan Banjir 2021 Maahad Tahfiz Selangor hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil Maahad Tahfiz.
Semalam sumbangan serupa juga diberi kepada 17 Maahad Tahfiz di Daerah Petaling membabitkan dana RM63,000.

Muhammad Hafiz yang lebih dikenali sebagai PU Hafiz berkata, sehingga semalam sejumlah RM100,000 sumbangan yang dikumpul diagih kepada Maahad-maahad Tahfiz.

Menurutnya, bantuan kepada setiap Maahad Tahfiz antara RM2,000 hingga RM10,000 iaitu mengikut kerosakan yang dialami.

“Terima kasih kepada penyumbang termasuk NGO luar Selangor yang memberi bantuan kepada Maahad Tahfiz di Selangor. Selain itu banyak bantuan beras, pakaian dan keperluan asas lain diterima.

“Maahad Tahfiz juga perlu bantuan kewangan untuk membeli kelengkapan lain,” ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al Quraan Negeri Selangor (PITAS). – HARAKAHDAILY 29/12/2021

- Advertisement -