Bilik Operasi sedia makanan seawal jam 4 pagi

- Advertisement -

Oleh HAZWANI NOH, SYAHIRAH SALLEH | Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

HULU LANGAT: Bilik Operasi Khidmat Malaysia Hulu Langat mula beroperasi seawal jam 4 pagi dengan penyediaan sarapan kepada petugas dan mangsa banjir di sini.

Kemudian, masakan akan siap dibungkus pada jam 6.30 pagi dan mula diedarkan seawal jam 7 pagi kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat.

Seterusnya, jam 10 pagi, Dapur Rakyat Khidmat Malaysia akan memastikan makanan untuk tengah hari siap dibungkus untuk mula diedarkan.

Manakala untuk makan malam, makanan akan sedia untuk diedarkan sebelum jam 7 petang.

- Advertisement -

Penyelaras Khidmat Malaysia Hulu Langat, Zurk Ahmad berkata, petugas Dapur Rakyat Khidmat Malaysia akan bermalam di Pusat Operasi Induk, iaitu di Pasti As-Syakirin Cheras Utara, Taman Megah.

“Di sini, kita tiada menu awal. Tukang masak di sini, mereka akan masak mengikut barang yang disumbangkan orang luar.

“Setakat semalam, kita sudah sediakan hampir 20,000 pek bungkusan makanan kepada mangsa banjir di sini untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi mengelakkan lambakan dan pembaziran makanan.

Sementara itu, terdapat juga Dapur Rakyat khusus untuk petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia yang tertumpu di Bilik Operasi di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Mutadayyin, Batu 14, di sini.

Kata Zurk, Dapur Rakyat Khidmat Malaysia mula beroperasi sejak awal pagi Ahad dengan barangan yang sangat terhad.

PAS Cawangan Hulu Langat mengusahakan dengan mengumpul wang terlebih dahulu untuk membeli barangan dapur dan berjaya menyediakan 500 pek makanan pada hari berkenaan.

Menurut Zurk, antara sebab utama beliau menjadikan Bilik Operasi Induk berada di luar kawasan banjir adalah untuk memudahkan pihak luar menghantar sumbangan kepada Bilik Operasi.

“Sebab kita buat di sini adalah kerana kita lihat, jika orang hendak hantar sumbangan masuk ke dalam memang masalah.

“Kebiasaannya, orang yang hantar sumbangan dalam jumlah yang banyak ini, mereka kejar tempat sebab Selangor bukan di Hulu Langat sahaja (banjir),” katanya.

Ketua Bilik Operasi, Muhamad Syafiq Mohd Ramdzan berkata, mereka juga melakukan hal sama dengan beroperasi seawal jam 4 pagi untuk penyediaan makanan bagi petugas dan sukarelawan di sini.

“Pukul 4 pagi kita sudah mula masak untuk petugas, lebihan daripada itu kita akan beri kepada mangsa banjir.

“Jika ramai lagi petugas tolong masak, bungkus, hantar, saya yakin kita boleh sediakan lebih banyak kuantiti untuk mangsa banjir,” katanya.

Menurutnya, ramai petugas dan sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir di Hulu Langat, antaranya Kelab Permotoran Alternatif (ARC) Terengganu, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan dan banyak lagi.

Sementara itu, menurut Zurk, bagi menjimatkan masa petugas daripada berulang alik untuk mendapatkan makanan semasa bertugas, mereka akan menggunakan rider untuk menghantar ke lokasi petugas menjalankan operasi. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -