
KUALA KRAU: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Kuala Krau terus bergelumang keringat di medan masyarakat memberi khidmat bakti di Taman Sri Desa, Pekan Kuala Krau, di sini kelmarin dulu.
Pasukan yang digerak atur sejak awal bencana melanda ini telah melaksanakan pula bantuan pasca banjir ‘Op Cuci’ walaupun dalam keadaan panas terik bagi meringankan beban mangsa banjir.
Antara kediaman turut dibantu adalah rumah Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kuala Krau, Fatimah Muhamad yang pada tahun ini sahaja telah dua kali dilanda banjir, namun beliau redha ujian Allah itu.
Beliau yang juga seorang suri rumah di samping menjaga suami kurang sihat dan turut menjaga ramai cucu itu dibantu operasi dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuala Krau, Ustaz Md Anuar Daud.
Selain rumah kediaman, anggota AMAL ini turut membantu membersihkan beberapa premis awam antaranya surau di Taman Seri Desa, Pekan Kuala Krau, di sini.
Para dermawan diseru turut sama membantu dengan menyumbang ke akaun BIMB 06037010036569 atas nama Jabatan Amal Kawasan Kuala Krau bagi menampung kos operasi. – HARAKAHDAILY 25/12/2021














