‘Budak itu kalau pergi berjalan depan sikit hanyutlah’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SUNGAI BULOH: Misi menyelamat mangsa banjir di Kubu Gajah, di sini pada Sabtu dilakukan hanya menggunakan sebuah bot milik Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Sungai Buloh.

Berkongsi detik cemas yang dilalui penduduk, kata Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, misi menyelamat banyak tertumpu di Kampung Melayu.

Justeru, tiada kenderaan lain selain sebuah bot milik JAM Sungai Buloh untuk memindahkan mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat pada malam kejadian.

- Advertisement -

Menurutnya, JAM Sungai Buloh hanya dapat memindahkan mangsa ke tempat yang lebih tinggi berikutan arus deras dan mereka tidak dapat untuk keluar dari kawasan itu.

Katanya, mangsa hanya dipindahkan dari rumah mereka ke rumah jiran atau bangunan yang lebih tinggi, seperti bangunan tahfiz berdekatan yang mempunyai tiga tingkat.

“Semasa air naik dan arus laju, ada satu keluarga masih tersangkut, dan bot kita juga tidak boleh masuk sebab arus kuat sangat.

“Jadi hendak pergi ambil (mangsa) memang tidak berani, sebab kalau letak dalam bot pun takut bot terbalik tengah jalan, bahaya.

“Kemudian, pasukan menyelamat kita ambil tindakan dengan memindahkan mangsa dari satu rumah letak ke satu rumah lain, tetapi di kawasan sama juga, kita tak beri keluar sebab kalau keluar memang mempunyai risiko yang lebih besar,” katanya.

Tambah Zaharudin, menggunakan bot berkenaan, mereka berjaya memindahkan lebih 30 buah keluarga sebelum situasi lebih teruk.

Beliau tidak dapat menjangkakan situasi yang akan berlaku jika tiada bot yang dapat beroperasi pada malam berkenaan.

Bimbang situasi sama berulang, kata Zaharudin, beliau akan cuba untuk menambah bot baharu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kita rancang untuk beli satu lagi bot selepas ini. Sebab ini perkara kritikal, isu nyawa. Memang water jet itu satu keperluan untuk membersih, tapi untuk selamatkan nyawa lebih penting,” katanya.

Kongsinya lagi, semasa misi menyelamat, mereka menjumpai tiga kanak-kanak bersendirian tanpa orang dewasa di dalam sebuah rumah.

Katanya, kemungkinan penjaga mereka meninggalkan kanak-kanak tersebut di rumah kerana tidak menjangka berlaku banjir pada hari berkenaan.

“Petang Sabtu, ada satu rumah yang ada tiga budak lingkungan umur semua bawah 12 tahun dalam rumah tidak boleh keluar sebab ibu bapa tiada di rumah.

“Sebab hari itu orang tidak sangka air naik, jadi orang tinggal anak-anak dalam rumah. Apabila naik mengejut, masing-masing kelam kabut.

“Mujur petang itu ada bot di situ, budak tiga orang itu akhirnya diselamatkan oleh JAM,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Zaharudin Muhammad

Tambahnya lagi, pada malam berkenaan, JAM menjumpai seorang kanak-kanak berdiri bersendirian di hdapan rumahnya.

Katanya, kanak-kanak tersebut amat dekat dengan aliran air yang sangat laju, JAM kemudiannya terus menarik kanak-kanak itu bersama.

“Semasa kita pusing malam kejadian, ada seorang budak dalam lingkungan usia 4 atau 5 tahun, betul-betul depan rumah saya, duduk sorang-sorang.

“Budak itu kalau pergi berjalan depan sikit hanyut lah. Dia sorang, ayah dia pergi mana tidak tahu, ayah dia (mungkin) kelam kabut atau macam mana, kita pun tak tahu.

“Budak itu duduk betul-betul tepi pagar rumah saya, saya tak sedar sebab saya dalam rumah, jadi yang lalu itu nampak dan ambil budak itu, kemudian terus bawa pergi ke tahfiz,” katanya.

Tambahnya lagi, semasa berlaku banjir, beliau cuba untuk menghubungi talian kecemasan, Anggota Pertahanan Awam (APM), dan ketua kampung untuk memohon bantuan.

Namun usaha itu gagal dan beliau tidak menyalahkan pihak lain kerana faham kemungkinan berlaku situasi lebih berbahaya di lokasi lain.

“Kita tidak salahkan sesiapa, sebab masing-masing kelam kabut, memang keadaan begitu tak boleh hendak harapkan sesiapa.

“Bukan pasal kerajaan buat kerja atau tidak, itu cerita lain. Kalau dapat masuk panggilan pun memang jentera tidak cukup dan kita ada tanggungjawab untuk standby,” katanya.

Menurut Zaharudin, kini semua mangsa sudah pulang ke rumah sendiri dan kebanyakan mereka mengalami kerugian yang sangat banyak berikutan kemusnahan dan kerosakan harta benda akibat banjir.

Unit Amal beri bantuan moral

Menurut Zaharudin lagi, JAM Sungai Buloh turut menawarkan bantuan dan sokongan moral kepada mangsa banjir.

Katanya, mangsa perlu menempuhi banyak cabaran lain pasca banjir dengan kemusnahan barangan keperluan, kerosakan pada kenderaan dan sebagainya.

“Ada yang balik, rumah mereka sudah tiada dapur, kebanyakan gas memang hilang, kereta pun banyak rosak dan perlu repair.

“Sekarang kita perlukan barangan keperluan dapur, toto, tilam dan bantal kerana masing-masing harta mereka musnah, tinggal rumah sahaja. Perlukan masa untuk recover,” katanya.

Tambahnya, mangsa banjir memerlukan masa berbulan-bulan untuk kembali memenuhi barangan keperluan rumah mereka.

Katanya, perkara itu tentunya turut memakan belanja yang besar untuk mengumpulkan satu demi satu barangan yang hilang, musnah atau rosak.

“Untuk baiki kereta, sekurang-kurangnya RM400 ke RM500, kemudian hendak beli tilam lagi. Toto memang murah sikit, tapi hanya untuk sementara sahaja.

“Maka, terpaksalah untuk tunggu gaji, sekali gaji beli ini, sekali lagi beli yang lain pula,” katanya.

Selain itu kata Zaharudin, JAM juga turut membantu mangsa banjir melalui kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Katanya, setakat hari ini, sekurang-kurangnya 60 buah rumah telah selesai dibersihkan secara kasar.

“Bersih rumah ini yang susahnya hendak buang perabot yang masuk air, tilam terendam air, itu semestinya memerlukan kudrat 3 atau 4 orang untuk melakukannya.

“Kita jangka, paling awal esok siap semua rumah untuk dibersihkan. Seingat saya rumah yang teruk sangat (untuk dibersihkan) ada dalam 50 buah rumah.

“Itu sekadar gambaran sahaja, setakat yang dibincangkan semalam. Kita juga akan bantu untuk cari tilam dan bantal untuk rumah-rumah berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -