Terengganu lancar operasi bantuan banjir ke Pahang

Hanafiah Mat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu kini siap siaga menggerakkan sukarelawan dalam misi pasca banjir ke Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan di negeri ini akan dihantar bagi membantu mangsa banjir di Pahang.

“Mesyuarat Exco pada hari ini telah meluluskan operasi kali ini dengan penglibatan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta sukarelawan seramai 500 orang,” katanya kepada media.

- Advertisement -

Jelas Hanafiah, pihaknya bersetuju untuk membersihkan rumah mangsa banjir dan mengadakan dapur rakyat di kawasan yang terlibat.

“Insya-Allah kita mensasarkan sebanyak 1,000 buah rumah akan dibersihkan dalam tempoh dua hari tersebut,” katanya.

Tambah Hanafiah, pasukan tersebut akan berada di Pahang dari 28 Disember sehingga 30 Disember ini.

“Semua agensi akan dilibatkan antaranya Urus Setia Belia, Sukan dan NGO, Urus Setia Penerangan Darul Iman, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah, Angkatan Pertahanan Awam, Polis, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengaliran dan Saliran.

“Operasi ini akan dikawal selia oleh APM Terengganu dengan kerjasama APM Pahang bagi memastikan keberkesanan kerja yang akan dilaksanakan nanti,” jelasnya lagi.

Katanya, ini merupakan hasrat kerajaan negeri bagi meringankan beban mangsa banjir di Pahang.

“Kita mengalu-alukan para dermawan dan sukarelawan untuk memberikan sumbangan tenaga mahupun kewangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang.

“Mana-mana NGO dan sukarelawan yang ini menyertai boleh menghubungi Urusetia T-Volt di talian 017-3113319 atau terus ke pejabat saya,” ujar beliau. – TRDI.my

- Advertisement -