Pencarum Perkeso terima RM680,000 Faedah Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan meluluskan pembayaran hampir RM680,000 menerusi Faedah Covid-19 kepada pencarum yang dijangkiti wabak Covid-19 sejak pandemik itu berlaku.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, sebanyak 1,175 daripada 2,446 permohonan yang diterima telah diluluskan.

Katanya, menerusi faedah tersebut sebanyak 80 peratus daripada jumlah gaji mereka dibayar mengikut bilangan hari dirawat di hospital atau kuarantin di rumah sehingga mereka disahkan negatif wabak Covid-19.

- Advertisement -

Selain itu katanya, bagi menerima faedah tersebut mereka yang layak bagaimanapun perlu membuat tuntutan melalui majikan.

Malah, syarat bagi pencarum yang layak menerima faedah berkenaan hendaklah disahkan setelah mendapat jangkitan di tempat kerja dan bukan disebabkan jangkitan daripada keluarga atau sebaliknya.

“Menerusi Faedah Covid-19 sebanyak 37 kes membabitkan kematian direkodkan, manakala bagi kes seperti itu waris pencarum juga layak menerima Faedah Pencen Penakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penutup Karnival Jamin Kerja Peringkat Negeri Kelantan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah KPTM Kota Bharu Raja Izuddin Raja Ahmad, Pengarah Wilayah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) Kelantan Azyyati Ibrahim dan Penolong Pengurus Pembangunan Modal Insan (Pembuatan) Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Azlihafiz Muhammad.

Nora juga berkata, sehingga November lalu seramai 5,131 pencarum dicatat hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 dan menjadikan kesemua mereka layak menerima elaun yang diberikan.

“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan layak menerima elaun mencari pekerjaan dan elaun bekerja awal bergantung gaji bulanan mereka sebelum ini dengan kadar bayaran 80 peratus bulan pertama, 50 peratus bulan kedua dan ketiga selain 30 peratus bulan keempat dan kelima,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -