Tengkujuh: Pusat Khidmat MP Marang sampaikan sumbangan

- Advertisement -

MARANG: Impak musim tengkujuh dan ribut tropika, penduduk tidak dapat lari daripada kejadian rumah dilanda angin kuat, dimasuki air dan pelbagai lagi kesan bencana alam terjadi.

Susulan itu, setiap tahun pasti ada ujian yang menimpa rakyat di kawasan ini.

“Tetapi, kali ini kita sedikit lega kerana ujian yang hadir tidak seberat banjir di negeri Selangor.

- Advertisement -

“Marilah sama-sama kita berdoa supaya rakyat di negeri Selangor diringankan ujian banjir dan dipermudahkan urusan mereka,” ujar Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.

Pada kali ini, kata beliau, pihaknya mendapat aduan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Rhu Rendang terdapat lima kejadian rumah dihempap pokok besar akibat ditiup angin kencang.

Menurutnya, bermula seawal jam 10.00 pagi, pihaknya berkumpul di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Marang dalam misi mencari dan mengumpulkan barang-barang keperluan yang sepatutnya dibawa ke lokasi tersebut.

Katanya, kesemua rumah yang terlibat menerima sumbangan daripada Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Marang disampaikan beliau mewakili Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia Kawasan Marang, Rahim Embong yang turut serta dalam lawatan itu bermula di Kampung Kijing dan Kampung Rhu Renggeh, seterusnya di Kampung Rhu Muda sebanyak dua buah rumah dan Kampung Alur Tuman.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua JPPK atas kerjasama yang baik diberikan sepanjang lawatan dan sumbangan berlangsung. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -