
Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH: Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin menggesa ahli-ahli politik agar tidak menjadi hipokrit kononnya mendahulukan kepentingan rakyat, namun tindakan mereka tidak selari dengan apa yang mereka lafazkan.
Katanya, setiap kali berpidato sering ‘mengatasnamakan’ kepentingan rakyat tetapi realitinya tindak tanduk sebenarnya lebih melihat kepada kepentingan peribadi berbanding rakyat.
“Kepentingan rakyat haruslah didahulukan berbanding kepentingan politik individu. Adalah sangat tidak wajar sekiranya PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) diadakan segera seperti mana desakan beberapa pimpinan tertinggi Umno.
“Sekiranya kerajaan tunduk dengan tekanan bagi mengadakan pilihan raya awal seolah-olah kerajaan tidak peka dan peduli terhadap keselamatan dan nyawa rakyat.
“Walaupun imuniti kelompok telah dicapai pada bulan Oktober yang lalu, tetapi dengan munculnya varian Omicron kita tidak pasti sejauh manakah kesannya terhadap wabak ini di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau mengambil contoh di United Kingdom (UK), kes baharu melonjak sehingga hampir mencapai ratus ribu sehari walaupun negara itu antara terawal memberi kelongaran untuk berhimpun dan tidak memakai pelitup muka.
“Kita saksikan bila menonton EPL mereka tidak lagi memakai pelitup muka. Tetapi hari ini penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial telah kembali dikuatkuasakan disebabkan varian Omicron,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu berkata, fasa pemulihan baru bermula di negara ini setelah mengalami kesan buruk daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ratusan ribu rakyat menderita.
“Mereka bukan sahaja kehilangan pekerjaan dan pendapatan tetapi juga kehilangan orang tersayang dan ahli keluarga tercinta.
“Apakah kita tidak mempunyai hati perut dan perasaan untuk turut merasakan kedukaan dan denyut nadi yang dialami oleh rakyat kesan daripada pandemik Covid-19?” soalnya.
Tambah beliau, memang tidak dinafikan BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, tetapi pertama sekali harus dilihat bahawa mereka yang menyebabkan berlakunya PRN Melaka telah dihukum oleh rakyat.
“Kedua, peratus keluar mengundi sekitar 65 peratus adalah terlalu rendah dan tidak ‘representive’ di mana pengundi muda dan atas pagar tidak keluar mengundi kerana muak dengan sikap ahli politik.
“Kita tidak boleh menjadikan kemenangan besar BN di PRN Melaka sebagai tanda aras agar PRU15 perlu diadakan segera,” ujarnya.
Sebaiknya, kata beliau, semua pihak perlu mengambil sikap bersabar dan mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Berilah waktu untuk rakyat dapat bernafas lega dan keadaan ekonomi mereka kembali stabil. Sekiranya pemilihan Umno boleh ditangguhkan kenapa tidak PRU15,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2021











