
MARAN: Lajnah Penerangan dan Media Baru (LPMB) PAS Kawasan Maran mengorak langkah memulakan sesi baharu 2021-2023 dengan Bengkel Penghasilan Poster Maya dan Video Pendek.
Program melibatkan seramai 35 peserta ini telah didedahkan secara teknik dalaman dan tertutup dengan dua slot khusus mengenai tajuk terbabit di mana telah dilangsungkan bertempat di Markaz PAS Maran, di sini semalam.
Slot penghasilan video pendek dan teknik penghasilan poster maya ini masing-masing dikendalikan oleh Khairul Ikhwan Abd Nasir dan Muhammad Bahauddeen Azmi yang juga Ahli Jawatankuasa LPMB PAS Maran.
Timbalan Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Mujibur Rahman yang juga ADUN Chenor telah menyempurnakan majlis perasmian penutup di mana memuji inisiatif tersebut antara langkah mendekati generasi kini.
“Sesungguhnya keterangan dan penerangan itu sebahagian daripada sihir (daya penarik dan mampu mengubah seseorang),” ujar beliau memetik hadis riwayat Bukhari itu.
Jelas beliau, ia bermakna Rasulullah SAW telah mengajar umatnya bahawa ilmu penerangan hakikatnya perlu mengikut zaman sepertimana dapat dilihat bahawa generasi kini banyak didedahkan kepada pengaruh di media sosial.
Menyentuh sisi buruk media sosial, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut terjadi disebabkan penyalahgunaan sama ada golongan dewasa mahupun anak muda kerana tidak bijak dalam memanfaatkan medium tersebut.
“Maka jadikanlah kursus hari ini sebagai medan untuk dakwah selain untuk pilihan raya contohnya seperti di Melaka baru-baru ini di mana kempen menggunakan media sosial sepenuhnya. Dengan adanya media sosial ini ianya lebih menjimatkan masa yang juga merupakan sebahagian suasana pada hari ini.
“Kita mengharapkan agar dengan kursus ini dapat dipraktikkan untuk tujuan dakwah dan memberikan kemenangan pada Islam,” ujarnya memandu hala tuju dan menyuntik kesedaran. – HARAKAHDAILY 17/12/2021












