Gejala buli: Perkukuh ilmu agama dan moral

- Advertisement -

IPOH: Gejala buli yang berlaku dalam kalangan pelajar khususnya di sekolah boleh mencalarkan imej institusi pendidikan negara yang berperanan melahirkan generasi sekali gus menjejaskan masa depan mereka. 

Ahli Jawatankuasa Ameerah Negeri Perak, Nuradila Mohd Kamal berkata, gejala buli bukan sahaja membuktikan berlakunya keruntuhan akhlak, malah menunjukkan sifat menindas telah menjadi penyakit segelintir pelajar masa kini. 

- Advertisement -

“Allah SWT telah menegaskan dalam Al-Quran (bahawa) perbuatan mencela dan menghina (ini) amat keji. Allah melarang perbuatan ejek-mengejek. Allah juga melarang tindakan yang membahayakan diri sendiri mahupun mencetuskan kecelakaan kepada orang lain,” ujarnya merujuk surah al-Hujurat ayat 11 an al-A’raf, ayat 56. 

Katanya, kes buli jika menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar boleh mempengaruhi pembentukan generasi anak muda ke arah budaya yang tidak sihat ke alam dewasa dan pekerjaan mereka kelak. 

“Apa yang membimbangkan perlakuan buli ini boleh membentuk kitaran keganasan yang berulang serta meninggalkan kesan psikologi yang merosakkan mental seseorang,” ulasnya. 

Oleh itu beliau berpandangan, kurikulum pendidikan agama dan moral serta kesedaran berkenaan kesan gejala buli dari sudut psikologi dan perundangan perlu diberi perhatian terperinci dalam semua peringkat institusi pendidikan negara.

Tegasnya, semua pihak tidak seharusnya memandang enteng terhadap silibus tersebut dalam pendidikan sekolah kerana jelas terbukti bahawa gejala buli adalah berpunca daripada kekurangan dan penghayatan nilai akhlak dan adab di kalangan pelajar. 

Dalam pada itu, pesannya juga agar semua pihak khususnya ibu bapa, guru, dan masyarakat untuk berganding bahu dalam penerapan nilai murni dan akhlak terpuji sebagai usaha mengekang gejala ini agar ia tidak berulang lagi kepada generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

- Advertisement -