Pahang digesa tangani kegiatan judi terselindung

- Advertisement -

KUANTAN: Kegiatan judi tanpa lesen termasuk secara dalam talian dilihat terus berselindung di sebalik premis kedai runcit, kedai cakera padat, pusat memancing dan lain-lain, demikian dedah Ustaz Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur).

- Advertisement -

Menurut beliau, terlalu banyak aduan diterimanya terutama dalam kalangan suri rumah di mana antara golongan yang terpaksa menanggung kesusahan dan kesempitan hidup kerana kegiatan suami berjudi. 

Sehubungan itu, beliau sangat mengharapkan agar pihak kerajaan dan berautoriti untuk memantau kegiatan semakin membarah ini dan menggunakan setiap sudut ruang undang-undang bagi membenterasnya.

Isu tersebut dibangkitkan beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Pahang 2022 pada Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini minggu lalu.

Bentangnya, masalah tersebut dilihat berkembang selari dengan kegiatan skim pinjaman wang segera yang semakin bercambah terutama di Tanjung Lumpur sejak musim pandemik COVID-19 melanda. 

“Kegiatan Ah Long yang berleluasa menuntut supaya pihak kerajaan sedaya upaya menyekat kegiatan ini yang terlalu menekan peminjam dan ada kalanya membawa kepada peringkat merbahayakan nyawa. 

“Ini kerana ugutan Ah Long (berlaku) apabila peminjam tidak mampu membayar balik kesan dari kadar bunga yang sangat tinggi,” ujar beliau terhadap isu yang turut dilaporkan di banyak tempat itu.

Dalam perbahasannya, Ustaz Rosli turut menyuarakan mengenai projek kumbahan yang masih belum siap sepenuhnya hingga menjadikan trafik sesak di jalan Tanjung Lumpur – Kempadang terutamanya pada waktu kemuncak.

Beliau maklum kesukaran dihadapi pihak kontraktor yang sedang menyiapkan projek tersebut, namun mengharapkan agar dicari alternatif bagi mengelakkan kesesakan melampau, antara membina laluan alternatif simpang Pak Mahat.

Beliau turut menyentuh isu banjir berpunca dari pembangunan baru iaitu Kempadang Makmur atau pinggiran Putra 3 dan 4, serta kawasan perumahan PRIMA di Sungai Soi yang masih dalam pembinaan.

Turut disentuhnya adalah mengenai kebajikan rakyat melibatkan caruman i-Suri untuk golongan B40 dan juga khairat kematian bagi rakyat berusia 65 tahun ke atas. – HARAKAHDAILY 13/12/2021

- Advertisement -