Ziarah YDP erat perpaduan, motivasikan ahli

- Advertisement -

TAMBUN: Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said menjadikan aktiviti ziarah sebagai antara rutin dalam mengeratkan hubungan perpaduan dan mengambil maklum perkembangan semasa masyarakat.

- Advertisement -

Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Hulu Kinta ini selain berkunjung beramah mesra dengan penduduk setempat dan ahli-ahli parti, juga meluangkan masa melawat kalangan mereka yang berhadapan ujian-ujian kehidupan.

Antara diziarahi beliau adalah Ketua Cawangan PAS Pekan Tambun, Shamsuddin Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana sedang sakit di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Alhamdulillah, keadaannya beransur pulih setelah menjalani pembedahan baru-baru ini. Insya-Allah, marilah sama-sama kita mendoakan agar Haji Samsudin segera disembuhkan oleh Allah S.W.T,” ujarnya lagi. 

Dalam membangkitkan semangat dan roh perjuangan, beliau turut mengambil peluang berkongsi taujihat mengenai kisah ulamak silam yang wajar dijadikan inspirasi dalam menggerakkan usaha-usaha tarbiyah, dakwah dan siyasah PAS. 

“Imam Abul A’la Al-Maududi merupakan antara ulamak silam yang sesuai dijadikan inspirasi untuk berjuang. Beliau merupakan pemikir pergerakan Islam moden (dan) seorang penulis yang sangat produktif dalam menghasilkan pelbagai karya. 

“Tafsir beliau banyak memperincikan mengenai (hal) semasa dan haraki yang juga terkandung di dalamnya gambar (dan) peta sebagai rujukan. Ini menjadikan tafsir beliau relevan dan sangat berkaitan untuk dijadikan rujukan sesuai dengan keadaan semasa,” ujarnya.

Turut hadir dalam sesi ziarah mahabah itu ialah Ketua PAS Zon Perpaduan merangkap Ahli Jawatankuasa JPKK Batu 5, Eddy Noor Abdul Manan. – HARAKAHDAILY 10/12/2021

- Advertisement -