
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
BATANG LUPAR: Rata-rata penduduk tempatan yang ditemui di sini mengharapkan sinar baharu dengan penampilan seorang rakyat yang lebih berwibawa.
Malah mereka berharap wakil rakyat yang dipilih hendaklah sentiasa berada bersama penduduk dan bukan datang sekali sekala ketika musim pilihan raya sahaja.
Seorang peniaga ikan basah di Pasar Majlis Daerah Betong, Pusa Abdullah Musyidi, 55 berkata, rakyat di Dun Beting Maro sangat berharap seorang pemimpin yang mampu memahami kehendak rakyat.
“Semasa PKP Covid-19 baru-baru ini peniagaan di pasar ini terjejas dan ditutup. Saya berniaga hasil laut, ikan basah sejak lebih 10 tahun bersama seorang anak.
“Bantuan pun jarang dapat dan harapkan perniaagaan ini sahaja. Saya niaga jam 6.30 pagi hingga 2.00 petang. Jika dapat bantuan cukup melegakan kerana perniagaan baharu bermula semula,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang tinggal di Kampung Hilir Pusu berkata, penduduk amat mengharapkan Adun yang akan dipilih mampu berkhidmat dengan baik terutamanya berkongsi kesusahan dengan mereka.
Dun Beting Maro sebelum ini diwakili Razaili Gapor daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak dua penggal lalu.
Kali ini beliau bertanding lagi bagi penggal ketiga, berdepan dengan calon PAS Arif Paijo dan calon PKR serta Bebas.
Seorang lagi peniaga Nur Hajijah Ahmad, 40, dari Kampung Hilir Pusa berharap calon yang berwibawa, prihatin serta sentiasa mempedulikan hal rakyat dipilih kali ini.
Katanya, rakyat sekarang sudah boleh menilai seseorang pemimpin yang boleh hidup bersama mereka ketika susah dan senang.
“Kamek (saya) nak calon yang berwibawa, yang sentiasa prihatin dan sentiasa ambil tahu tentang rakyat. Jangan pula bila sudah menang nanti rakyat tidak dipedulikan dan ditinggal hingga tempoh pilihan raya baru muncul semula.
“Masa susah, kita sama-sama susah dan bila senang, biarlah sama-sama senang. Kami semua akan pilih calon yang boleh diharapkan pada hari mengundi nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2021




















