
FIRMAN Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(al-Maidah: 90)
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang medianya hari ini telah menyatakan Kerajaan Negeri Kedah tidak akan memberi kelulusan terhadap lesen premis perjudian dan menghadkan jualan arak secara terbuka pada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri ini.
Sehubungan itu saya menegaskan dan menyokong penuh tindakan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Kedah ke arah negeri sifar judi sebagai memenuhi tuntutan agama Islam serta mencontohi langkah Kerajaan Kelantan dan Terengganu dalam isu mengharamkan industri ini lebih awal sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran kedua-dua Negeri Pantai Timur tersebut.
Saya juga merakamkan penghargaan atas usaha Kerajaan Negeri Kedah yang tegas dalam menghadkan jualan arak kerana ianya adalah diharamkan ke atas orang Islam kecuali untuk kegunaan kaum bukan-Islam sahaja. Ini menggambarkan sikap toleransi Kerajaan yang menghormati serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum yang ada di negeri ini.
Saya yakin dan percaya umat Islam yang berada di negeri ini akan sentiasa berdiri teguh di belakang ketetapan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kedah demi menjaga maslahat ummah memandangkan aktiviti tidak sihat ini hanya membawa kesan negatif serta mengundang kerosakan kepada individu, keluarga dan masyarakat.
Allah S.W.T berfirman:
‘ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ‘
“…Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya,”
(Ali-Imran: 159)
“اسلام مڽاتوكن امة”
YB SENATOR DATO’ AHMAD YAHAYA
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 15/11/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/bppnkpaskedah/photos/a.1681806905439457/3131033093850157/?type=3











