Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia

- Advertisement -

PERNAH tak sewaktu kita kecil kita tertanya-tanya, ‘Kenapa Allah menciptakan nyamuk?’ Kerjanya cumalah mengacau dan menghisap darah orang. Kini apabila kita meningkat dewasa dan boleh berfikir, barulah kita tahu berapa ramai yang mendapat rezeki dan pekerjaan kerana adanya nyamuk.

Disebabkan ada nyamuk, wujudnya kilang ubat nyamuk dan syarikat racun penyembur nyamuk. Saintis-saintis juga membuat kajian mengenai penyakit malaria dan denggi, juga disebabkan nyamuk yang kecil ini.

- Advertisement -

Hebatnya ciptaan Allah S.W.T, kadang-kadang kita sahaja yang tidak tahu hikmah di sebalik ciptaan itu. Firman Allah S.W.T, dalam Surah al-Baqarah ayat 26:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَن يَضْرِبَ مَثَلًا مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ

 “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: ‘Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?’ (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.”

Disebabkan kita tidak tahu hikmah-Nya, jangan pula kita kata ciptaan Allah itu sia-sia. Begitu jugalah dengan virus yang melanda kita ini, mungkin kita merasa susah dengannya, mungkin disebabkannya kita hilang pekerjaan, dan mungkin juga ada kenalan kita yang meninggal dunia disebabkannya, tetapi jangan sesekali mempertikaikan ciptaan Allah S.W.T dan hikmah di sebaliknya.

Pasti ada hikmah Allah yang lebih baik buat kita, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Yakinlah bahawa setiap perkara yang Allah ciptakan mesti bersebab dan tidak sia-sia.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 10/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/442285957458450

- Advertisement -