Putus rantaian demam denggi, hapuskan nyamuk Aedes

INDERA MAHKOTA: Ketika seluruh dunia masih berdepan bahaya COVID-19, negara ini turut berhadapan juga dengan ancaman demam denggi di beberapa lokasi termasuk antaranya Daerah Kuantan.

Advertisement

Sehubungan itu, memandangkan ancaman dan bahaya denggi turut merisikokan nyawa sepertimana COVID-19, maka usaha memerangi denggi dengan memutuskan rantaian pembiakan Aedes juga mesti serius diadakan.

ADUN Beserah, Andansura Rabu mengingatkan demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Cegah Pembiakan Nyamuk Aedes yang diadakan di Taman Balok Makmur Kuantan, di sini kelmarin.

Program anjuran Team Skuad Combi Kuantan, KRT Taman Balok Makmur dan Masjid Balok Makmur ini untuk memberi kesedaran kepada komuniti terhadap keperluan membasmi tempat pembiakan Aedes bagi membendung penularan denggi.

“COVID-19 dan denggi kedua-duanya wabak berisiko tinggi yang membawa kepada kematian. Malah, kematian disebabkan denggi telah mencapai angka yang tinggi dari COVID-19 di negara kita,” ujarnya.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, menjaga kebersihan persekitaran rumah dari pembiakan nyamuk Aedes sangat penting dengan memastikan tiada tempat air bertakung.

Terang beliau, nyamuk itu boleh hidup dalam takungan air yang sedikit seperti pasu bunga, botol dan seumpamanya di mana dalam tempoh seminggu telurnya akan bertukar menjadi nyamuk, sekali gus tempat pembiakan seumpama mesti dibersihkan.

Oleh itu seru beliau, penduduk mestilah membersihkan persekitaran kediaman mereka secara mingguan sebagai langkah pencegahan, apatah lagi perkara tersebut yakni kebersihan juga adalah tuntutan agama.

“Jangka hayat seekor nyamuk Aedes adalah sebulan. Dalam tempoh tersebut, ia boleh bertelur sebanyak 400 biji. Bayangkan kalau ada beratus ekor nyamuk, sudah pasti amat mudah denggi merebak.

“Sebab itu payah untuk dihapuskan. Ambillah masa seminggu sekali antara 15 hingga 20 minit untuk bersihkan dalam dan luar rumah kita di samping untuk sihat dengan dapat mengeluarkan peluh,” ujarnya lagi.

Maklum beliau, Pahang merupakan antara negeri tinggi kes wabak denggi yang antara kawasan itu termasuk Beserah dan Balok di mana jika pihak Kesihatan menemui nyamuk Aedes di kediaman, penduduk akan didenda RM500 untuk seekor.

Beliau turut menyeru di samping usaha menangani wabak denggi oleh nyamuk Aedes itu supaya disiplin mencegah COVID-19 untuk terus menjadi budaya norma baharu yang diamalkan penduduk. – HARAKAHDAILY 23/11/2020