
KUALA NERUS: Indeks kepercayaan rakyat kepada pemimpin PAS yang dilantik dalam kerajaan Persekutuan mencecah melebihi daripada 80 peratus.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata satu kajian telah dibuat berteraskan kepercayaan terhadap PAS dalam kerajaan.
“Oleh kerana apabila kita berada di dalam kerajaan persekutuan, kita telah diberikan sebanyak tiga portfolio, yang pertamanya KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) oleh Timbalan Presiden Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, peringkat awal dulu Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Komoditi, dan saya sendiri sebagai Menteri Undang-undang dan juga Parlimen.
“Kemudian dalam kerajaan yang ada pada sekarang ini, KASA kekal Dato’ Sri Tuan Ibrahim, kita ada Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS, di Jabatan Perdana Menteri (Agama), dan saya sendiri sebagai KETSA.
“Kita ada lima timbalan menteri yang dikekalkan iaitu Kementerian Wanita portfolio yang besar, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian MOSTI, Kementerian Pertanian dan juga Jabatan Perdana Menteri Agama,” katanya.
Kata beliau, itulah yang dikaji oleh pengkaji-pengkaji mengenai indeks kepercayaan kepada PAS.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali-67 di Duyong Marina Resort, hari ini.
Takiyuddin berkata, antara yang menarik dengan kenaikan indeks kepercayaan kepada PAS ini, kajian mengatakan menteri PAS yang berlatarbelakangkan agama boleh mengendalikan kementerian yang berteraskan kepada profesionalisme.
“Sebagai contoh KASA, kemudian sebelum ini Komoditi iaitu satu kementerian yang cukup besar dan saya sendiri mereka mungkin membuat kajian yang biasanya menteri undang-undang syariah ini PAS, tetapi undang-undang sivil daripada PAS itu yang menaikkan indeks.
“Menteri itu pula daripada sekolah arab tetapi menjadi menteri undang-undang sivil, jadi satu pencapaian kepada PAS. Alhamdulillah.
“Lebih-lebih lagi kita sekarang ini mempunyai menteri agama, memang tepat dan kena pada tempatnya kita mengendalikan portfolio agama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Begitu juga menurutnya budaya infak dalam kalangan wakil-wakil rakyat PAS sudah menjadi perkara lazim yang diamalkan sejak dahulu lagi.
Katanya menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat PAS perlu membuat infak kepada PAS setiap bulan.
Beliau juga berkata, kerajaan yang diterajui PAS pula perlu membentang laporan pada muktamar.
Begitu juga sekarang ada pemimpin PAS yang berada dalam kabinet perlu membentang laporan kementerian mereka kepada PAS Pusat.
Takiyuddin juga berkata, jumlah ahli PAS yang ada sekarang seramai 845,820 orang, di mana seramai 49,000 orang ahli dikategorikan sebagai tidak aktif.
“Kategori tidak aktif dibuat kerana PAS kawasan yang tidak dapat mengesan mereka berada di cawangan mana.
“Manakala jumlah cawangan PAS yang ada sekarang iaitu 7,816 di seluruh negara. Jumlah kawasan PAS yang ada di seluruh negara pula sebanyak 197 daripada 222 kawasan parlimen.
“Kebanyakan kawasan PAS yang belum ada sebahagian besar di Sabah dan Sarawak. Manakala jumlah Dewan Pemuda di seluruh negara sekarang sebanyak 185 dan Dewan Muslimat pula 182,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya sasaran PAS untuk mempunyai Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat di setiap kawasan yang terdapat pentadbiran PAS kawasan.
“Kita mahu setiap dewan bilangannya sama dengan jumlah PAS kawasan yang ada di seluruh negara,” katanya.
Beliau juga berkata, berdasar Perlembagaan 2020 mendokumenkan Dewan Ulamak PAS kawasan perlu diwujudkan di setiap kawasan yang memiliki pentadbiran PAS kawasan.
Namun setakat ini hanya terdapat Dewan Ulamak Kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Kata beliau sehingga sekarang hanya ada 44 Dewan Ulamak kawasan di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 7/11/2021




















