
KUALA NERUS: PAS perlu menggerakkan kekuatan dakwah untuk memberi kesedaran kepada golongan muda yang kini diketahui ramai terjebak dengan budaya hedonisme.
Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan Dr Azhar Yaakub berkata, ada anak-anak muda terbabit dengan jenayah siber, skim cepat kaya dan hedonisme yang jauh dengan budaya PAS.
Kata beliau dengan situasi itu bagaimana hendak menarik golongan terbabit untuk mengundi PAS kerana tiada kefahaman mengenai perjuangan dibawa PAS.
“Jadi kita perlu gerakan aktiviti amar makruf nahi mungkar untuk mengajak mereka mengundi PAS. Mereka perlu diberi kesedaran termasuk kefahaman mengenai daulah Islamiah.
“Cabaran kepada PAS tidak cukup dengan kumpul ayat-ayat al Quran sahaja, kita mesti melonjak lagi isu-isu transparent dan akauntabiliti.
“Begitu juga isu kerja-kerja membaik pulih rumah perdana menteri yang dikenali Kompleks Seri Perdana sehingga RM38.5 juta, ketika rakyat masih berdepan dengan kesukaran.
“Isu beginilah yang menyebabkan rakyat semakin menjauhi kerajaan,” katanya sebagai pembahas akhir ucapan dasar presiden pada muktamar PAS hari ini.
Menurutnya PAS sebagai kompenan kerajaan perlu berani berkata benar.
Dr Azhar turut mencadangkan pemimpin PAS hendaklah kuasai kementerian-kementerian yang dekat dengan isu-isu kemanusiaan termasuk Kementerian Pendidikan.
Oleh itu beliau berkata, pendidikan politik hendaklah diperluaskan kepada masyarakat.
“Setakat ini ahamdulillah kita sudah dapat masuk Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama,” katanya.
Beliau juga berkata, pada PRU lepas Pakatan Harapan (PH) memainkan isu kebobrokan ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga dipercayai rakyat Malaysia membawa tumbangnya kerajaan BN pada PRU14. – HARAKAHDAILY 6/11/2021











