Mobilisasi pendidikan politik bermula dari keluarga

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kepimpinan politik Islam perlu memimpin pendidikan politik Malaysia untuk memastikan pembawaan kepada asas fundamental yang telah ditunjukkan baginda Rasulullah S.A.W iaitulah bermula dari keluarga.

Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Dr Azahar Yaakob berkata, ianya adalah peringkat pertama sebelum ke peringkat kedua iaitu masyarakat dan ketiga iaitu kerajaan atau pemerintahan.

Malah tegasnya, pendidikan politik bermula keluarga ini telah dinyatakan Allah di dalam al-Quran menerusi ayat 6 surah at-Tahrim dan dicontohkan Rasulullah dalam kehidupan baginda.

Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

Dalam ucapannya itu, beliau membawa perwakilan melihat kepada beberapa statistik melibatkan kejadian jenayah dalam kalangan anak muda seperti curi, pecah rumah, samun, rogol, hamil luar nikah dan perceraian yang besar.

“Cuba bayangkan kita bercakap tentang undi 18 tahun. Apakah kita mampu untuk mengalihkan mereka ini untuk mengundi PAS? Sedangkan untuk mengundi PAS harus dibina kesedaran bagaimana membina kesedaran untuk ummah.

“Untuk survival ummah, untuk Daulah Islamiyah, sedangkan maruah mereka sendiri pun mereka tidak menjaganya?” ujarnya mengajak renungan dan tindakan aktif semua pihak.

Menurut beliau, semua data statistik dinyatakannya itu menunjukkan bahawa kemusnahan akan berlaku dan ia menjadikan proses keluarga dan pembentukan masyarakat, seterusnya negara tidak akan berlaku dengan baik.

Menyentuh dapatan kajian khusus yang menggambarkan suasana masyarakat terutama dalam kalangan anak-anak muda, disenaraikan beliau antara kepincangan tersebut adalah jenayah siber, pornografi, penipuan, judi siber dan skim cepat kaya.

“Yang kesemua analisis yang dibuat ini menjurus kepada satu trend pemikiran di  kalangan young generation di kalangan anak-anak muda yang mencengkam faham sekularisma, materialisma, dan hedonisma.

“Bermakna ini juga akan menjadikan kehidupan mereka, gaya hidup mereka, life style mereka yang berlatar belakangkan kepada tiga ideologi ini pasti mereka tidak akan mengundi PAS.

“Kerana pra syarat untuk mengundi PAS tak dapat tidak ialah dengan kefahaman. Justeru itulah kita mesti memobilasi satu kekuatan dakwah dan kekuatan dakwah kita tidak hanya dalam bentuk menyeru manusia kepada kebaikan semata-mata tetapi kita bergerak serentak dalam bentuk amar makruf dan nahi mungkar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -