Bajet 2022: Menteri hargai peruntukan kepada KASA meningkat 20 peratus

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta menyambut baik Bajet 2022 yang dilihat memberi penekanan yang signifikan kepada aspek menjamin pelestarian alam sekitar dan air negara.

Katanya, berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, KASA mempunyai peranan penting dalam memastikan pencapaian tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan ke arah pemulihan negara pasca pandemik.

Menurutnya, sebagaimana cadangan Menteri Kewangan, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022 KASA adalah sebanyak RM4,172,691,700.

- Advertisement -

Beliau menambah, pecahan peruntukan melibatkan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM565,535,200 dan Perbelanjaan Pembangunan pula RM3,607,156,500.

Secara keseluruhannya, kata beliau peruntukan kepada KASA meningkat sebanyak 20.09 peratus berbanding peruntukan tahun 2021, di mana peningkatan 2.49 peratus bagi Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan 23.41 peratus bagi Peruntukan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan.

“Bagi peruntukan mengurus, saya amat berbesar hati atas keprihatinan kerajaan dalam memastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan-jabatan di bawah KASA berada pada tahap terbaik.

“Antaranya adalah peningkatan peruntukan sebanyak 24.83 peratus kepada Bahagian Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan bagi operasi dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air, serta penyelenggaraan fasiliti di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan bagi agenda kelestarian alam sekitar melalui kelulusan geran sokongan kepada Rakan Alam Sekitar (RAS).

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu optimis ia akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pembudayaan gaya hidup lestari dalam masyarakat.

Katanya lagi, sebagaimana yang disebutkan oleh Menteri Kewangan, perincian langkah-langkah bagi mencapai sasaran net-zero greenhouse gas emissions seawal-awalnya pada tahun 2050 adalah tertakluk kepada hasil Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emission Development Strategy – LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022 oleh KASA.

Tambah beliau, KASA sebagai kementerian utama yang memacu agenda perubahan iklim negara dan menyelaras tindakan bagi memenuhi obligasi negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perjanjian Paris sedang dalam proses membangunkan Skim Perdagangan Karbon Domestik (Domestic Emissions Trading Scheme – DETS) secara berfasa.

“Fasa pertama akan bermula dengan pembangunan Voluntary Carbon Market (VCM) Domestik oleh Bursa Malaysia dan diikuti dengan fasa kedua yang melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestic,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, pengumuman insentif-insentif pemilikan kenderaan elektrik (EV) dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (Low Carbon Mobility Blueprint – LCMB) serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara.

Menurutnya, insentif-insentif yang disediakan akan menyokong pembangunan ekosistem kenderaan EV dan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau baharu, pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia.

Tambahnya, peruntukan pembangunan secara pinjaman bagi tahun 2022 merangkumi projek pembetungan di Sabah dan Sarawak; serta perkhidmatan air di Kelantan, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak meningkat sebanyak 38.77 peratus (RM308,508,000) kepada RM795,617,000 berbanding RM487,109,000 peruntukan pinjaman yang diluluskan pada tahun 2021.

Kata beliau, berdasarkan cadangan Menteri Kewangan, kementerian turut akan meneruskan projek-projek pemuliharaan dan mitigaso banjir di seluruh negara.

“Kementerian mengalu-alukan inisiatif khusus menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka di Kedah dan mengatasi banjir di Melaka,” katanya.

Menurut beliau lagi, bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan serta-merta di masa akan datang, pihak KASA sedang melaksanakan business process re-engineering ke atas proses pelaksanaan projek dari peringkat perancangan sehingga pengeluaran surat setuju terima (SST).

“Sekali lagi KASA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan yang mencadangkan peruntukan sejumlah RM4.172 bilion untuk melestarikan alam sekitar dan air,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -