
PUTRAJAYA: Bersempena dengan sambutan Hari Ozon Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 16 September lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menganjurkan satu sesi webinar pada 29 September 2021 bertajuk Implementation of Montreal Protocol in Malaysia: Success Story & Another Milestones Towards Ozone Climate Benefits.
Menurut Ketua Pengarah Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, sesi webinar itu menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang, United Nations Development Programme (UNDP) Resident Representative for Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam, Niloy Banerjee dan Pakar Protocol Montreal, Bank Dunia, Viraj Vithoontien.
“Semasa mengulas mengenai pencapaian pelaksanaan Protokol Montreal bagi mengurangkan penggunaan bahan pemusnah ozon oleh Malaysia, wakil Bank Dunia iaitu Encik Viraj Vithoontien telah mengiktiraf bahawa Malaysia berada pada tahap terbaik iaitu A+,” ujarnya dalam kenyataan yang disiarkan di sini, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan itu juga disokong oleh ahli panel UNDP iaitu Niloy Banerjee yang kagum dengan kejayaan Malaysia khususnya JAS kerana berjaya meyakinkan industri kecil dan sederhana untuk menukar teknologi kepada bahan mesra ozon.
Selain itu, katanya melebihi 16,000 juruteknik terlatih dalam servis refrigeran dalam negara telah berjaya diwujudkan bagi memastikan penyelenggaraan sistem penghawa dingin dan penyejukan mengikut amalan mesra ozon.
“Inisiatif ini dicapai dengan menggalakkan kecekapan tenaga dalam sektor penyejukan yang turut menyumbang kepada jaminan kualiti kehidupan, jaminan makanan dan penyimpanan vaksin dalam keadaan baik dan selamat,” katanya lagi.
Tambahnya, dalam usaha untuk memastikan pematuhan obligasi di bawah perjanjian Protokol Montreal, pelbagai pelan dan strategi telah digariskan dan dilaksanakan oleh kerajaan antaranya adalah Pelan Penghapusan CFC Kebangsaan (2002-2010), Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC Peringkat 1 (2012-2016) dan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC Peringkat 2 (2017-2022).
Menurutnya lagi, Malaysia komited untuk menangani isu perubahan iklim dengan meratifikasi Pindaan Kigali terhadap Protokol Montreal pada 21 Oktober 2021 bagi pengurangan bahan hidrofluorokarbon (HFC) yang memiliki Global Warming Potential (GWP) yang tinggi.
Sehingga kini, ujarnya sebanyak 125 buah negara telah meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal.
Ratifikasi Pindaan Kigali turut memberi manfaat kepada negara dengan fleksibili untuk menentukan strategi kebangsaan mengikut kesediaan industri tempatan bagi pengurangan HFC dalam negara.
“Negara kita juga akan mendapat bantuan kewangan dari Multilateral Fund (MLF) bagi pelaksanaan pelan dan strategi serta akses perdagangan dengan negara-negara parti yang lain bagi mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dalam pelaksanaan pengurangan HFC.
“Yang paling penting, obligasi di bawah Pindaan Kigali ini akan membantu usaha negara dalam menangani isu perubahan iklim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2021











