Lantik kontraktor atau tukang rumah: Elak pertelingkahan

- Advertisement -

MEREKA yang memiliki rumah sendiri kadang-kala akan membuat pengubahsuaian atau penambahan kepada kediaman mereka. Atau sekurang-kurangnya membaik pulih sebarang kerosakan dari masa ke semasa.

Kontraktor atau seorang tukang akan dilantik untuk menjalankan kerja-kerja tersebut. Walau bagaimanapun terdapat mereka yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilaksanakan. Akhirnya berlaku pertelingkahan dan perbalahan di antara kedua-dua pihak.

- Advertisement -

Sekiranya melibatkan permohonan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sudah tentu seorang profesional seperti seorang Arkitek akan dilantik. Pelan dan kontrak akan disediakan justeru itu sebarang perselisihan boleh dirujuk kepada pelan dan kontrak tersebut.

Tetapi bagaimana dengan kerja-kerja berskala kecil yang tidak memerlukan sebarang kelulusan PBT? Tidak berbaloi untuk melantik seorang profesional dan hanya akan melibatkan pemilik rumah dan kontraktor ataupun seorang tukang rumah. Walaupun kos tidak tinggi namun duit tetap duit dan pertelingkahan boleh berlaku.

Bagaimana untuk mengelakkan pertelingkahan tersebut? Bagaimana untuk mengelakkan salah faham? Berikut adalah di antara langkah-langkahnya:

1. Menyatakan dengan jelas kerja-kerja yang hendak dilaksanakan.

Seboleh-bolehnya ia hendaklah di dalam bentuk pelan atau lakaran yang lengkap. Anda perlu menyatakan kerja-kerja yang hendak dilaksanakan supaya kontraktor atau tukang yang anda lantik jelas akan skop kerja mereka.

Walaupun ia merupakan kerja-kerja membaik pulih seperti menggantikan genting bumbung yang pecah atau menukar pintu dan tingkap, skop kerja perlu dinyatakan dengan jelas.

Jika tidak dapat menyediakan pelan atau lakaran lengkap, catitkan secara terperinci kerja-kerja tersebut supaya tidak berlaku sebarang pertikaian atau salah faham kemudian.

Jangan mengandaikan mereka tahu apa yang anda hasratkan. Kerja-kerja yang hendak dilaksanakan, kualiti yang hendak dicapai, bahan-bahan yang hendak digunakan atau jenama produk yang hendak digunakan perlu dinyatakan dengan jelas supaya anda menerima apa yang anda hasratkan.

Kontraktor atau tukang mungkin memiliki kefahaman yang berbeza dari anda. Kefahaman anda mungkin berbeza dari kefahaman seorang pekerja warga Indonesia atau seorang pekerja warga Bangladesh. Jangan ambil risiko catitkan segala-galanya.

2. Persetujui kos untuk kerja-kerja yang dilaksanakan.

Kontraktor atau tukang perlu menetapkan kos bagi kerja-kerja tersebut. Kos ini perlu disenaraikan secara terperinci iaitu bagi setiap kerja termasuk bahan-bahan yang digunakan.

Ini akan membantu anda memastikan sama ada kerja-kerja itu telah dilaksanakan menurut persetujuan. Begitu juga dengan bahan-bahan sama ada telah menggunakan kualiti atau jenama yang anda hasratkan.

Senarai kos ini penting agar anda juga dapat memantau dengan terperinci kerja-kerja yang dilaksanakan. Contohnya adakah mereka menggunakan bahan dan jenama yang ditetapkan atau mereka telah menggunakan bahan atau jenama yang lebih murah.

Dengan senarai kos ini, anda dapat mengawal anggaran perbelanjaan. Ia juga memberi peluang kepada anda untuk membuat penjimatan dengan mengeluarkan kerja-kerja yang tidak diperlukan atau menggunakan bahan atau jenama yang lebih murah.

3. Pemantauan dari masa ke semasa dan kelulusan selepas setiap peringkat kerja.

Pemantauan adalah penting kerana ia untuk menentukan berapa perkara iaitu:

a. Supaya kualiti kerja adalah sepertimana yang boleh diterima oleh anda.

Di projek-projek besar, kontraktor akan diminta untuk membuat satu contoh (mock-up) untuk kelulusan sebelum meneruskan kerja mereka.

Anda juga boleh berbuat sedemikian sebelum mereka memulakan kerja. Contohnya untuk kerja-kerja lepaan dinding (plastering) atau mengecat. Anda mesti berpuas hati dengan contoh yang ditunjukkan terlebih dahulu. 

b. Supaya prosedur kerja adalah sepertimana amalan biasa.

Di dalam pembinaan, terdapat prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi dan jika gagal akan memberi kesan jangka panjang yang akan melibatkan kos untuk membaik pulih.

Contohnya setelah dinding dilepa, ia tidak boleh terus dicat. Perlu diberi masa untuk kering. Cat pula ada beberapa lapis. Kadang-kala terdapat mereka yang mahu memudahkan kerja dan gagal mematuhi prosedur kerja biasa.

c. Memastikan bahan dan jenama adalah sepertimana spesifikasi yang ditetapkan.

Ini amat penting agar anda menerima perkara-perkara yang anda bayar. Contohnya jika terdapat kontraktor yang menggunakan produk berkualiti rendah dan apabila pemilik rumah menyedarinya beliau telah memaksa pemilik rumah menerimanya di atas alasan ia telah dipasang. Walaupun diskaun diberi namun ia amat mengecewakan bagi pemilik rumah yang mahukan rumah impian.

Justeru itu perlu ada pemantauan. Setiap bahan atau produk perlu mendapat kelulusan anda sebelum digunakan atau dipasang. Jangan segan atau takut untuk bersikap tegas. Lebih baik bergaduh awal dari bergaduh berpanjangan.

4. Tetapkan jangka masa kerja.

Tetapkan juga bagi setiap peringkat kerja agar anda dapat memantau sama ada projek anda akan menjadi lewat. Bagi projek-projek pembinaan, kontraktor akan didenda (LAD) jika gagal menyiapkan projek menurut tarikh yang ditetapkan oleh kontrak.

Mungkin untuk projek-projek yang kecil, keadaannya adalah lebih fleksibel. Tetapi kadang-kala ia akan mendatangkan masalah besar jika pemilik rumah terpaksa menyewa rumah lain sehingga kerja-kerja siap. Jika kelewatan ini berbulan-bulan malah bertahun-tahun sudah tentu ia akan melibatkan kos tambahan kepada pemilik rumah. Eloklah terdapat kontrak yang khusus di antara kedua-dua pihak agar kepentingan tuan rumah dilindungi. Tetapi mungkin lebih bijak dengan memilih kontraktor yang mempunyai rekod yang baik. Bertanyalah kepada klien-klien mereka sebelum membuat keputusan.

5. Memastikan kerja-kerja yang dijalankan tidak memberi kesan-kesan sampingan yang buruk.

Anda perlu memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor atau tukang anda tidak menimbulkan masalah-masalah lain. Contohnya menyebabkan kerosakkan kepada rumah anda.

Anda boleh mengambil gambar-gambar sebelum kerja-kerja dimulakan. Sekiranya terdapat kerosakan atau kesan-kesan buruk yang lain, mudah untuk anda membuat tuntutan kerana terdapat bukti.

6. Sebarang arahan perlu dibuat secara bertulis.

Sebarang arahan daripada anda kepada kontraktor atau tukang anda perlu dilakukan secara bertulis. Ianya untuk melindungi hak anda jika timbul sebarang masalah atau pertikaian.

Sebarang persetujuan dan perubahan juga perlu direkodkan serta disahkan oleh kedua-dua pihak. Ia mungkin merumitkan tetapi dapat mengelakkan sebarang salah faham di masa akan datang.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 5/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/4740914979260795/

- Advertisement -