40 peratus kes harian di Kelantan belum terima vaksin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan masih berharap golongan yang enggan menerima vaksin Covid-19 mengubah pendirian mereka bagi mengelakkan boleh mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Pengerusi jawatangkuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, golongan terbabit tidak dianggap sebagai antivaksin, sebaliknya berharap mereka berubah.

Katanya, sehingga sekarang kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 27,000 penduduk di Kelantan tidak menerima sutikan vaksin atas alasan enggan dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

- Advertisement -

Kata beliau daripada jumlah itu lebih 9,000 individu mengisytiharkan mereka langsung tidak mahu divaksin.

“Baki selebihnya enggan menerima vaksin kerana mereka mempunyai masalah kesihatan selain tidak sesuai disuntik.

“Data berkenaan didapati menerusi hasil yang dikumpul ketua jajahan, penghulu dan pemimpin setempat setelah mereka turun padang menemui individu berkenaan.

“Golongan itu memberi pelbagai alasan dan saya juga tidak mahu melabelkan mereka sebagai antivaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, keengganan mereka menerima vaksin dibimbangi boleh membahayakan orang ramai apabila melakukan aktiviti rentas negeri dan negara.

Menurut Dr Izani juga kes harian positif Covid-19 di Kelantan masih mencecah angka empat, di mana 40 peratus daripada mereka belum menerima sebarang suntikan vaksin.

Begitu juga katanya, sebanyak 72 peratus jumlah kematian harian di negeri itu adalah mereka yang tidak menerima sebarang vaksin.

“Proses pemberian vaksin adalah penting bagi mencegah wabak Covid-19 daripada terus merebak selain mengelak kesan yang lebih teruk berlaku termasuk kematian.

“Oleh itu, saya amat menyeru mana-mana individu yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 agar ubah fikiran dan segera dapatkan suntikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -