Senator ketuai pasukan vaksinasi dari rumah ke rumah

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

- Advertisement -

BACHOK: Senator Dr Wan Martina Wan Yusof mengetuai pasukan vaksinasi dari rumah ke rumah bersama 20 petugas di Dun Pantai Irama semalam.

Mereka terdiri daripada kakitangan Pusat Kesihatan Daerah Bachok, Pusat Khidmat Dun Pantai Irama, penghulu, anggota Jabatan Amal Malaysia, Skuad Kita Cakna Pantai Irama, Unit IT dan Media Pemuda Bachok.

Seramai 36 individu terdiri daripada warga emas, pesakit terlantar dan OKU berjaya divaksin pada program berkenaan.

Dr Martina berkata, program vaksinasi dari rumah ke rumah walaupun agak sukar dilaksanakan, namun ia dianggap begitu berjaya dengan kerjasama penduduk terbabit.

“Jika sebelum ini belum pun kita sampai ke rumah mereka, sudah kedengaran ada yang enggan divaksin, tetapi apabila kita sampai dan terangkan apa kelebihan vaksin, akhirnya mereka terima,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau juga berharap ibubapa dan penjaga memberi kerjasama terhadap program vaksinasi golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun yang dilaksanakan kerajaan sekarang.

Katanya, pelajar terbabit perlu datang menerima vaksin kerana ia amat penting memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“InsyaAllah kejayaannya telah terbukti di mana kes jangkitan harian Covid-19 turun mendadak khususnya di negeri yang telah mencapai 100 peratus vaksinasi,” ujarnya.

Beliau turut berharap rakyat Kelantan mengambil ruang yang disediakan kerajaan untuk menerima suntikan vaksin secara walk-in bagi faedah bersama.

Menurutnya juga kerajaan bukan hanya memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), malah mewujudkan outreach dan vaksinasi secara bergerak dari rumah ke rumah. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -