
Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Peralihan fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merupakan keputusan yang baik untuk menjana ekonomi negara.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, peralihan itu akan memberi peluang untuk penjanaan ekonomi terutamanya di Lembah Klang dan Selangor khususnya, yang menyumbang 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun katanya, soal menangani wabak Covid-19 juga harus terus ditekan.
“Saya tidak mahu dengan keputusan kerajaan ini rakyat melihat bahawa ini satu kebebasan, seolah-olah SOP (prosedur operasi standard) dan penguatkuasaan itu tidak diperlukan lagi.
“Jadi, yang ada autoriti terus memainkan peranan dalam penguatkuasaan SOP, pematuhannya. Setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk terus mengekangkan (penularan wabak) Covid-19 ini,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan peralihan fasa dua di Lembah Klang dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.
Antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.
Menurut Dr Ahmad Yunus lagi, keputusan di peringkat kerajaan memutuskan Selangor memasuki Fasa 2 PPN diharap dapat berjalan dengan baik.
Namun, dari sudut wabak Covid-19 ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang mengingatkan orang ramai harus berjaga-jaga.
“Kita tidak mahu bila masuk fasa baharu orang agak terlalu bebas sehingga pematuhan SOP nanti seolah-olah tidak ditekankan. Hatta ini harus berterusan.
“Cuma saya ingat dari sudut pematuhan SOP dan penguatkuasaan itu harus berjalan dengan lebih baik lagi.
“Program vaksinasi juga harus terus perkukuhkan supaya imuniti kelompok yang dijangkakan hujung bulan ini dapat direalisasikan,” katanya ketika dihubungi, di sini. – HARAKAHDAILY 10/9/2021











