
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Kawalan di dua zon di mukim Kuala Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini lebih ketat berbanding PKPD Kota Setar Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata, kawalan dan pemeriksaan akan dilakukan lebih ketat lagi berikutan jumlah jangkitan Covid-19 dilaporkan tinggi di zon berkenaan.
Berikutan itu katanya sepanjang tempoh PKPD itu dilaksanakan sehingga 19 September depan, lapan jalan ditutup sepenuhnya.
Antaranya Jalan Kampung Baru, Jalan Kampung Layang Utara, persimpangan Jalan Kampung Padang, Jalan Kota Marina, Jalan Kampung Tepi Laut, Jalan Taman Bahtera, Lorong Mayat dan Jalan Kubang Rotan.
“Sebarang aktiviti keluar masuk yang tiada keperluan tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.
“Hanya Kampung Telok Talipon, Kampung Baru Bakar Kapur dan Kampung Padang Garam di Kuala Kedah terkecuali daripada PKPD,” katanya pada sidang media di Jalan Kuala Kedah, semalam.
Sungguhpun begitu, aktiviti nelayan menangkap ikan di laut dibolehkan namun individu yang memakai gelang merah jambu tidak dibenarkan.
Katanya, pengawasan di laut akan dikendalikan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Bagi mereka yang menerima vaksin secara walk-in, kami tidak membenarkan dalam tempoh PKPD sebab tidak ada dokumen yang boleh dibuktikan oleh mereka.
“Hanya individu yang mempunyai janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan keluar dari kawasan PKPD,” kata beliau.
Menurutnya lagi, kes-kes kecemasan untuk menerima rawatan di hospital dibenarkan dengan kelulusan polis.
Kata beliau tindakan kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang degil dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPD tersebut. – HARAKAHDAILY 6/9/2021











