Warga Maran diseru rebut peluang ‘walk in’ vaksin

- Advertisement -

KUALA KRAU: Para penduduk dalam Daerah Maran khususnya dalam DUN Jengka dan Parlimen Kuala Krau diseru memanfaatkan peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 yang dibuka sejak semalam hingga 11 September depan.

- Advertisement -

ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim berkata, peluang tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia bermula 4 hingga 10 September, manakala bagi bukan warganegara boleh dapatkannya pada 11 September nanti.

Pegawai Perubatan Daerah Maran, Dr Aminuddin Ma’pol dari Pejabat Kesihatan Daerah Maran sebelum ini telah mengeluarkan memo dan jadual vaksinasi kepada seluruh komuniti dalam daerah ini untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Penerima suntikan secara ‘walk in’ itu mestilah berumur 18 tahun dan ke atas dengan membawa kad pengenalan, buku merah bagi ibu hamil, pasport bagi bukan warganegara dan buku rekod kesihatan bagi yang dalam rawatan.

Juga mestilah hadir membawa pen bagi memudahkan urusan mengisi borang, selain penerima perlu membawa bil air atau elektrik sebagai bukti tempat tinggal terkini ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

“Marilah sama-sama kita laksanakan suntikan vaksin ini agar kita semua selamat dari dijangkiti virus yang bahaya dan dapat mengecapi kehidupan seperti sedia kala.

“Semoga pemberitahuan ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk di dalam DUN Jengka yang masih belum menerima suntikan vaksin. Sesungguhnya, mencegah lebih baik dari mengubati dan kita serah segala pada Allah,” ujar Ustaz Shahril.

Setakat semalam, Maran merekodkan 18 kes baharu COVID-19 daripada 410 kes bagi negeri Pahang, dengan kes aktif secara kumulatif sebanyak 353 kes dan 43 kematian setakat ini dari 2,107 kes keseluruhan.

Terdahulu kelmarin, Maran hanya mencatat 4 kes dan sebelumnya 23 kes (2 Sept), 3 kes (1 Sept), 11 kes (31 Ogos), 16 kes (30 Ogos) dan 13 kes (29 Ogos) yang kekal di bawah 50 kes selama seminggu. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -