
KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menyokong penuh tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyalurkan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri itu.
Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, pihaknya juga menghargai tindakan KKM memindahkan tenaga kerja serta aset perubatan dari negeri lain untuk membantu sistem kesihatan negeri itu.
“Kami menghargai dan berterima kasih atas peruntukan khas 200,000 dos vaksin yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada negeri Pulau Pinang pada 3 September lalu dan bakal menerima 1 Juta dos vaksin lagi sebagaimana kenyataan Menteri Kesihatan pada 1 September 2021.
“Usaha dan tindakan segera Khairy Jamaluddin untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negeri Pulau Pinang ini diharapkan mampu mengurangkan kes harian serta bilangan pesakit Covid-19 yang kritikal di hospital, seterusnya negeri Pulau Pinang akan segera memasuki fasa ke-3 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, PAS Pulau Pinang turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dilakukan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin atas usaha dan tindakan mendapatkan bekalan vaksin yang lebih banyak untuk rakyat negeri itu.
Katanya, penerimaan 200,000 dos vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Ogos lalu untuk memenuhi sasaran 100 peratus populasi dewasa yang divaksin bagi dos pertama dan 80 peratus bagi dos kedua pada September ini adalah satu berita gembira.
Walau bagaimanapun, Ustaz Fauzi memberi peringatan kepada mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya tidak mengganggu fokus kerajaan negeri dengan mengkritik Exco Kesihatan dan Kerajaan negeri berikutan isu kekurangan vaksin yang berlaku bulan lepas.
Beliau berharap Guan Eng memberikan tumpuan serta fokusnya dahulu kepada penyelesaian kes mahkamah projek terowong dasar laut.
Justeru itu, PAS Pulau Pinang menyokong dan bersetuju atas usaha baik mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang dalam mencapai imuniti kelompok di negeri itu.
Seterusnya, kata beliau rakyat Pulau Pinang khususnya dapat keluar daripada pandemik Covid-19 itu dengan segera dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 5/9/2021




















