
Oleh SARINA ISMAIL
YAN: Seramai 12 pengusaha chalet yang terkesan ekoran kejadian rempuhan kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu menerima sumbangan disampaikan Ahli Parlimen (MP) Jerai.
Ustaz Sabri Azit berkata, sumbangan itu diberi kepada pengusaha chalet terbabit di samping mendengar masalah yang dihadapi mereka.
Katanya, pengusaha chalet berkenaan merupakan sebahagian penggiat utama industri pelancongan desa di Yan.
“Pada perjumpaan ini kita mendengar masalah yang mereka hadapi dan memberi sedikit sumbangan untuk meringankan bebanan yang ditanggung,” katanya pada perjumpaan di Chalet Puteri Ayu semalam.
Turut hadir Setiausaha PAS Negeri Kedah Ustaz Musoddak Ahmad dan Adun Sungai Limau Ustaz Mohd Azam Abdul Samat.
Kejadian rempuhan kepala air dari Gunung Jerai dua minggu lalu menyebabkan premis rekreasi di sekitar kaki gunung terbabit rosak dan musnah.
Chalet Salak Denai dan Alang Kenari antara yang musnah sepenuhnya akibat rempuhan kepala pada kejadian tersebut.
“InsyaAllah kita akan bawa masalah tersebut terutama berkaitan bantuan kerajaan kepada pihak atasan,” katanya.
Rabu lepas Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pengusaha chalet yang terjejas akibat tragedi kepala air Gunung Jerai akan dipertimbang bayaran saguhati di bawah industri pelancongan desa.
Bagaimanapun sebahagian besar pengusaha terbabit mendirikan chalet dan pusat rekreasi di tanah rezab sungai dan tidak mendapat kelulusan Majlis Daerah Yan.
Sementara itu pengusaha chalet yang ditemui berharap tindakan proaktif pihak berkuasa bagi membolehkan sektor pelancongan di daerah berkenaan dapat dimajukan semula.
Manakala pada perkembangan berkaitan Ahli Parlimen Jerai turut menyampaikan sumbangan kepada enam sekolah yang terjejas sekitar daerah terbabit.
Antaranya Sekoleh Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Darul Izzah, Maahad Tahfiz Al-Fityan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) York Khoon, Sekolah Menengah Kebangsaan Yan dan Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam.
Bantuan banjir turut disumbangkan kepada dua masjid yang terjejas iaitu Masjid Pauh dan Masjid Badlisyah Yan. – HARAKAHDAILY 3/9/2021




















