
TANGGAL 31 Ogos setiap tahun, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengingati tarikh yang keramat ini. Ia sentiasa diraikan di seluruh negara. Perkara ini sebagai tanda menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957. Antara lafaz yang diajar Rasulullah S.A.W sempena menyambut kemerdekaan ini dengan
الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات
“Segala puji bagi Allah S.W.T, dengan nikmatnya sempurnalah segala kebaikan.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Marilah kita sama-sama menghayati erti ‘Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan’. Semoga ini menjadikan kita memahami erti kemerdekaan negara dan bersungguh-sungguh mempertahankannya, agar kenikmatan hidup aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat sentiasa subur.
Syeikh Abdul Qadir al Mandili menyatakan di dalam Penawar Bagi Hati bahawa syukur itu dizahirkan melalui tiga saluran, iaitu ilmu, kelakuan dan pekerjaan.
1. Secara ilmunya, seseorang itu perlulah sedar dan tahu bahawa segala nikmat yang diperolehi itu datangnya daripada Allah S.W.T, bukan daripada makhluk. Selaras dengan firman Allah S.W.T:
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ)
“Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan.”
(an-Nahl: 53)
2. Dari sudut kelakuan pula iaitu merasa gembira dengan pemberianNya, lalu membesarkanNya dan merendahkan diri sendiri yang tiada apa apa kekuasaan.
3. Dari sudut pekerjaan pula ialah dengan menggunakan segala nikmat yang diberikanNya secara halal, mengikut landasan syariat.
Justeru, kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah S.W.T yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia, hasil daripada kemerdekaan ini yang perlu disyukuri dan dipertahankan.
Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al Maghfur lah pernah bertitah:
“Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara merdeka ini, adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera.”
Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajipan kita bersama, sebagai rakyat jelata. Contohnya, Piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda S.A.W ada menyebut yang bermaksud:
“Semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.”
Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap warganegara. Ia perlu ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak agar setiap warganegara menghargai tanah tumpah darahnya. Seterusnya akan berputiklah perasaan setia kepada negara. Ia juga melahirkan perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan tanah air kita.
Ingatlah, masih ada di kalangan kita barisan perajurit yang masih hidup. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka. Ingatlah perit jerih perjuangan nenek moyang kita terdahulu. Semoga Allah merahmati mereka dan menghimpunkan mereka bersama para Solehin.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan kali ke-64 buat seluruh rakyat Negeri Perak. Semoga Allah melimpahkan kurniaan kepada kita, kebahagiaan hidup, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik, segala kebaikan dan keamanan yang berpanjangan. Amin.
Akhir sekali, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’. Marilah kita menyemarakkan tema ini di segenap segi kehidupan kita. Bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak COVID-19, tetapi juga usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik. Tema Malaysia Prihatinperlu kita sematkan dalam ingatan, untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Oleh:
USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
ADUN Selama – HARAKAHDAILY 31/8/2021











