
Oleh FADILAH NORDIN
SEPANGGAR: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), Norsah Bongsu berkata, dewan itu adalah gerakan wanita yang memperjuangkan kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat dan kedamaian negara.
Menurutnya, selaras dengan visi Lajnah Pekerja dan Pengguna, DMPNS mengambil inisiatif mengumpulkan golongan sasar bagi mendapat taklimat penerangan dengan kerjasama Perkeso.
“Program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira isu-isu kemasyarakatan yang timbul dan mendesak,” ujarnya semasa merasmikan Webinar Taklimat Perkeso untuk Pekerjaan Sendiri Dan Usahanita anjuran Lajnah Pekerja dan Pengguna DMPNS secara dalam talian, semalam.
Pengarah program, Aznah Tandek, pula memberitahu webinar yang disertai lebih 100 orang peserta dari seluruh Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia itu telah membuka ruang sesi soal jawab di antara para peniaga dan Pegawai Perkeso secara langsung.
“Webinar ini diadakan atas keprihatinan DMPNS dengan isu-isu kemasyarakatan yang timbul akibat daripada wabak Covid-19 terutamanya yang melibatkan pekerja dan pengguna.
“Webinar ini mendapat perhatian masyarakat khususnya mereka yang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, peniaga kecil dan pengusaha restoran kerana telah membuka ruang kepada pihak Perkeso untuk berkongsi maklumat mengenai manfaat yang akan diperolehi oleh pencarum terutamanya dalam musim pandemik ini.
“Semasa sesi ini, kami baru mengetahui bahawa pencarum yang dikuarantin layak untuk membuat tuntutan,” ujar Aznah yang juga Ketua Lajnah Pekerja dan Pengguna DMPNS. – HARAKAHDAILY 30/8/2021











