Dakwaan Kabinet ‘kitar semula’ tidak tepat

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Kabinet ‘kitar semula’ adalah tidak tepat.

Menurut penganalisis politik dan pentadbiran, Dr Mohamad Tawfik Yaakub pengekalan muka lama dalam kabinet baru bagi meneruskan perkhidmatan adalah atas kapasiti prestasi, pengalaman dan kekananan mereka dalam parti komponen yang membentuk kerajaan Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

Malah katanya, kerajaan yang dibentuk oleh Ismail Sabri adalah kerajaan komponen parti yang sama ketika Perikatan Nasional mentadbir negara sebelum ini, maka tidak timbul isu kitar semula.

Menurut beliau, jika pihak-pihak tidak bertanggungjawab ingin terus menuduh kerajaan ini kitar semula, mereka sepatutnya juga melihat dari pelbagai segmen lain termasuklah pembangkang.

“Bagaimana kita lihat berkali-kali Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pembangkang, beliau juga adalah ‘Ketua Pembangkang kitar semula’.

“Tun Mahathir pada 2018 juga dilantik kali kedua sebagai PM, beliau juga boleh kita label sebagai ‘PM kitar semula’. Sedangkan lebih ramai calon-calon baru dari PH ketika itu boleh diangkat sebagai PM. Tetapi kenapa masih lagi Tun Mahathir?

“Inilah yang dikatakan prestasi, kemampuan pengalaman dan strategi politik,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar rakyat tidak terperangkap dengan permainan politik dan pelabelan imej politik keterlaluan yang tidak bertanggungjawab.

“Sekarang masa untuk kita melihat kepada kemampuan prestasi, kemampuan mengurus pandemik, kestabilan politik dan keharmonian negara yang boleh diwujudkan.

“Saya merumuskan, dalam pembentukan kabinet elemen-elemen prestasi, pengalaman dan kestabilan politik adalah indikator penting dalam pemilihan menteri.

“Bukan mengikut nafsu kepuasan hati sebilangan individu atau pihak yang suka melihat ketidakstabilan politik berlaku di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2021

- Advertisement -