
Oleh: SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Pemergian mantan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dianggap satu kehilangan besar ‘Keluarga Malaysia’.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh yang begitu banyak menyumbang jasa kepada negara.
“Pemergiannya satu kehilangan yang besar buat negara kerana jasanya bukan sahaja dalam pentadbiran awam malahan juga dalam sektor pengurusan korporat dan khidmat kemasyarakatan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tun Ahmad Sarji, 82, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.40 awal pagi ini.
Berita kematiannya dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi laman Facebook beliau, pagi ini.
Berikutan itu, kerajaan negeri turut berkongsi rasa dukacita atas pemergian Ahmad Sarji dan merakamkan ucapan takziah terutama kepada ahli keluarganya.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, memberikan limpahan pahala atas khidmat baktinya serta mengampunkan dosa,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2021











