
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 7)
ABU Hurairah menceritakan: Rasulullah SAW berhutang seekor unta kategori tertentu dengan seorang lelaki. Beliau datang menuntut hutangnya.
Suaranya agak keras terhadap Nabi sehingga ada para sahabat Nabi yang ingin memukulnya.
Nabi SAW bersabda:
دعوه فإن لصاحب الحق مقالا
“Biarkan dia, kerana kata-kata empunya hak didengari.”
Tambahnya: Berikan kepadanya.
Para sahabat mencari kategori unta yang sama dengan hutang Nabi. Mereka tidak dapati melainkan kategori yang lebih baik darinya.
Nabi bersabda: Berikan kepadanya.
Lelaki itu menjawab: “Engkau telah sempurnakan hutangku. Semoga Allah balas apa yang engkau sempurnakan”.
Ujar Nabi SAW:
إن خيركم ٱحسنكم قضاء
“Sebaik-baik dari kalangan kamu ialah orang yang membayar dengan paling baik.” (Jami’ al-Usul)
Dalam satu kisah lain yang hampir sama, Abu Sa’id al-Khudri berkata: Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW menuntut hutangnya dari Nabi. Arab Badwi itu agak kasar hingga dia berkata: Aku ganggu kamu, melainkan engkau lunaskan hutang aku.
Para sahabat Nabi membentaknya: Celaka kamu. Kamu kenal siapa yang kamu sedang bercakap itu?
Dia menjawab: Aku menuntut hak aku.
Nabi bersabda: Kamu biarkan empunya hak bercakap.
Nabi SAW utus wakilnya kepada Khaulah binti Qais (iaitu isteri Hamzah bin Abdul Muttalib), mahu berhutang tamar untuk bayar kepada Arab Badwi tadi.
Khaulah beri hutang kurma. Nabi bayar kepada Arab Badwi.
Nabi bersabda:
أولئك خيار الناس إنه لا قدست أمة لا يأخذ الضعيف فيها حقه غير متعتع
“Mereka (Orang yang melunaskan hak orang lain) itulah sebaik-baik manusia. Sesungguhnya tidak dimuliakan satu umat di mana orang yang lemah tidak dapat mengambil haknya, tanpa sukar.” (Hayatussahabah, Al-Kandahlawi 2/92)
Pengajaran dari kisah di atas:
1. Dibenarkan untuk berhutang, sama ada dalam bentuk matawang, binatang dan lain-lain.
2. Dibenarkan meminta hutang apabila tiba waktunya.
3. Sunat beradab dan berakhlak mulia ketika menuntut dibayar hutang.
4. Sunat membayar hutang dengan nilai atau bentuk yang lebih baik dari nilai dan bentuk sebenar hutang.
5. Nabi SAW tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, bahkan Nabi sentiasa berlembut dengan sesiapa sahaja.
6. Antara kaedah yang penting diamalkan ialah orang yang berhak terhadap sesuatu perkara, kata-kata, pendapat dan pandangannya perlu diberi perhatian dan diutamakan. Kaedah ini terpakai dalam pelbagai aktiviti kehidupan.
Ini menunjukkan betapa Islam menekankan aspek keadilan terhadap semua pihak. – HARAKAHDAILY 26/8/2021
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.











