Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan

- Advertisement -

Oleh USTAZ NUSHI DATO’ MAHFODZ
Pemangku Ketua Dewan UlamaK PAS Selangor

TEKA teki pelantikan Perdana Menteri kesembilan telah terungkai dengan berlangsungnya majlis Mengangkat Sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 yang lalu.

Kini, tibalah masanya rakyat Malaysia melupakan sengketa politik, sebaliknya berganding bahu menyelesaikan penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara di atas kapasiti masing-masing. Itulah selayaknya cara kita menjunjung kasih ke bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong yang telah bertindak dengan penuh bijaksana memastikan rakyat dan negara kekal aman, damai dan harmoni.

Tinggal lagi, pastinya ‘Keluarga Malaysia’ sedang ternanti-nanti dan berkira-kira apakah rupa bentuk kabinet yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat ini. Siapakah yang akan menganggotainya kali ini? Pendekatan Keluarga Malaysia dan pelawaan kepada pihak pembangkang untuk turut menyumbang dalam Pelan Pemulihan Negara membuktikan sifat inklusif dan keterbukaan kerajaan baharu demi negara dan rakyat adalah satu permulaan yang baik ke arah budaya politik yang matang dan sejahtera.

- Advertisement -

Semoga Dato’ Seri Perdana Menteri bijak mengambil peluang ini untuk cuba memperbaiki dan memenuhi ekspektasi dan aspirasi rakyat yang sudah semakin kecewa dengan sikap ahli politik mutakhir ini yang telah menghadiahkan pengalaman “sekali mengundi, dapat 3 Perdana Menteri”. 

Sesungguhnya barisan kabinet yang akan diumumkan bakal memberi tanggapan awal bentuk dan corak kepimpinan Perdana Menteri baharu kita kali ini; You’ll never get second chance to make a great first impression.

Kabinet Malaysia atau Jemaah Menteri ialah sebuah badan eksekutif kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri dan merupakan sebuah majlis menteri-menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Anggota Kabinet hanya boleh dipilih daripada mana-mana Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara.

Kebiasaannya, Yang di-Pertuan Agong melantik semua menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam Islam, Menteri atau kementerian disebut sebagai “wazir” dan wizarah” yang bersifat bebanan, bantu membantu dan menjadi tumpuan. Justeru, para Menteri adalah pembantu dan tumpuan ketua negara yang terbeban sama ada dalam bentuk buah fikiran, mahupun pentadbiran dan pemerintahan negara.

Di dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda;
مَا اسْتُخْلِفَ خَلِيفَةٌ إِلاَّ لَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْخَيْرِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ ، وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ ، وَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ 
“Tidaklah seorang khalifah (pemimpin) yang diangkat, kecuali dia akan mempunyai dua bithanah (orang kepercayaan); bithanah yang menyuruhnya pada kebaikan dan mendorong untuk melakukannya, dan bithanah yang menyuruhnya kepada kejahatan dan mendorong untuk melakukannya. Adapun yang terhindar dari kejahatan adalah orang-orang yang dijaga oleh Allah saja.” (HR. Bukhari)

Ini dikuatkan dengan hadis Aisyah r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda;
عن عائشة -رضي الله عنها- مرفوعًا: «إِذَا أَرَادَ اللهُ بِالأمِيرِ خَيرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ بِهِ غَيرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ»
“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang pemimpin, maka Allah akan memberikan kepadanya menteri yang jujur, dia akan mengingatkannya ketika lupa, dan membantunya ketika dia ingat. Jika Allah menghendaki sebaliknya, maka Allah akan memberikan kepadanya menteri yang buruk, dia tidak mengingatkannya ketika lupa, dan tidak membantunya ketika ingat.” (HR. Abu Daud, Nasai, dan Ahmad)

Di dalam hadis Abu Musa al-Asy’ari r.a Rasulullah s.a.w bersabda;
إِنَّمَا مَثَلُ الجليس الصالحُ والجليسُ السوءِ كحامِلِ المسك، ونافخِ الكِيْرِ فحاملُ المسك: إِما أن يُحْذِيَكَ، وإِما أن تبتاع منه، وإِمَّا أن تجِدَ منه ريحا طيِّبة، ونافخُ الكير: إِما أن يَحرقَ ثِيَابَكَ، وإِما أن تجد منه ريحا خبيثَة
”Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang pandai besi. Penjual minyak wangi, mungkin akan memberikan hadiah minyak wangi kepadamu, atau engkau akan membeli minyak wangi darinya, atau setidak-tidaknya engkau akan mendapatkan bau semerbak wangi. Adapun bersama tukang pandai besi, engkau bisa terbakar karena apinya, atau jika tidak, engkau pasti akan mendapati bau angus.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia kita sangat-sangat mengharapkan agar barisan kabinet yang akan diumumkan pada kali ini terdiri daripada mereka yang benar-benar bersih dan berkredibiliti untuk mengembalikan maruah politik tanah air dan kepimpinan negara yang semakin tercalar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Cukup-cukuplah permainan politik yang menyusahkan rakyat dan negara. Negara Malaysia memerlukan sebuah barisan kepimpinan negara yang komited berganding bahu bekerja dan berusaha bersunguh-sungguh sebagai sebuah pasukan yang bersatu hati dan tindakan dalam membanteras penularan Covid-19 seterusnya memfokus kepada pemulihan ekonomi negara di saat genting ini. Itulah selayaknya cara kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke 64 sebagai sebuah keluarga yang prihatin dan bersatu hati. Salam Kemerdekaan Malaysia 2021! – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -