
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, membantu menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir kilat akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing, berkata pengagihan barangan keperluan asas ini adalah inisiatif Kelab Sukan dan Kebajikan Maritim (KESMAR) Zon Maritim Kuala Perlis sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat.
“Sumbangan diberikan kepada dua keluarga anggota Maritim Malaysia yang terjejas dan beberapa orang penduduk sekitar daerah Yan di Kedah sebagai tanda sokongan moral kerana dilanda musibah ini disamping dapat membantu meringankan beban mereka.
“Zon Maritim Kuala Perlis juga membantu membersihkan rumah mangsa akibat banjir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya Maritim Malaysia mengalu-alukan mana-mana pihak yang menghadapi kecemasan di laut untuk menghubungi Maritim Malaysia menerusi talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – HARAKAHDAILY 25/8/2021











