
Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: Golongan muda menyarankan agar kerajaan memberi respons yang positif terhadap pandangan dan pendapat mereka berkait sesuatu perkara atau isu berbangkit.
Tinjauan HarakahDaily sekitar ibu kota hari ini mendapati golongan muda atau belia memberi pelbagai pendapat tentang penglibatan mereka dalam memastikan suara mereka didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan.
Pekerja bank, 26, Nur Izzatie Shaharum berkata, golongan muda di negara ini berharap untuk mendapat maklumbalas yang memberangsangkan daripada pihak kerajaan dengan kadar segera berhubung sebarang isu yang timbul.
“Golongan muda mahu suara mereka didengari kerana mereka berdarah muda dan mahu masalah mereka dapat diselesaikan segera dengan sewajarnya,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Sementara itu, arkitek landskap, Nazri Ishak, 40, berharap agar golongan muda dapat menyuarakan sebarang pendapat melalui saluran yang betul dalam memberikan respons terhadap sebarang isu berbangkit.

“Golongan muda boleh memberikan pendapat kepada menteri, ahli parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui saluran media sosial yang berkaitan.
“Sebagai contoh, golongan belia boleh menghubungi Kementerian Belia dan Sukan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka. Kementerian ini mempunyai banyak saluran di laman web, media sosial dan talian hotline untuk mendengar suara hati golongan muda.
“Saya sendiri turut mengambil pekerja dalam kalangan golongan muda kerana mereka mempunyai idea yang segar, sekali gus mampu mewujudkan suasana yang holistik,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Jururawat, Mohammad Akashah Muhammad, 31, berkata orang muda perlu bijak menggunakan platform yang bersesuaian untuk meluahkan tentang sesuatu isu berbangkit kepada kerajaan dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan aktiviti negatif seperti demonstrasi jalanan.

“Ketika pandemik Covid-19 berada di tahap kritikal sekarang ini, rakyat Malaysia seharusnya mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan sebarang aktiviti sia-sia seperti demonstrasi jalanan kerana ia tiada penjarakan sosial.
“Orang muda mudah terpengaruh dengan demonstrasi jalanan ini ditambah lagi tidak sedar mereka sebenarnya diperdaya dan dipengaruhi propaganda parti politik tertentu dan pihak yang berkepentingan.
“Saya menyambut baik seruan kerajaan dalam memberi tumpuan suara anak muda kerana anak muda memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara,” katanya.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dalam kenyataan beliau, memberi jaminan untuk memastikan agar suara golongan muda negara didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan bagi menjayakan agenda besar pemulihan negara. HARAKAHDAILY 25/08/21











