Kabinet Ismail Sabri diharap bentuk kepimpinan rakyat

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah satu isyarat kepada kekuatan kepimpinan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, pelantikan Ismail Sabri merupakan kesinambungan kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Dr Mohd Syakir yakin kabinet yang dibina akan mengambil kira kejayaan dan performance setiap ahli Kabinet.

Justeru itu, beliau yakin langkah itu akan membuatkan rakyat terus memberi sokongan kepada kepimpinan Ismail Sabri.

“Saya yakin jika berlakunya kerjasama antara semua pihak dalam kepimpinan Ismail Sabri, pasti akan membuahkan satu hasil yang bermanfaat kepada negara.

“Sejujurnya saya sangat gembira kerana peralihan kuasa yang berlaku untuk kali yang ketiga ini dalam keadaan yang aman dan saya tidak nampak sebarang provokasi yang berlaku melainkan ada isu-isu kecil.

“Ini kerana kita pun sedia maklum bahawa Dato’ Sri Ismail Sabri juga merupakan seorang yang bebas sebarang kontroversi,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, kelmarin.

Justeru, Mohd Syakir mengharapkan Kabinet pimpinan Ismail Sabri dapat membentuk satu paradigma kepimpinan rakyat yang sangat bersih dan memberi contoh kepada semua pihak.

“Yang ini kita minta kerana kita faham bahawa kedudukan apabila sudah menjadi kerajaan pasti akan ada krisis dan ada satu bentuk propaganda yang dilakukan oleh pembangkang.

“Tetapi jikalau dah kepimpinan itu bersih, maka, tidak ada sebab kenapa mereka perlu untuk mengkritik kepimpinan dan juga barisan-barisan kabinet yang akan dilantik oleh Dato’ Seri Ismail Sabri,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -