
KOTA BHARU: Sebuah jawatankuasa pembangunan bersama ditubuh bagi menyelaras projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Tok Bali.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jawatankuasa itu bagi memastikan pembangunan berjalan dengan baik.
Katanya, jawatankuasa teknikal tersebut dipengerusi Menteri Besar dan diangotai 24 ahli membabitkan agensi Persekutuan, negeri dan swasta serta pihak lain.
“Jawatankuasa itu akan meneliti serta memastikan penyelarasan pembangunan secara komprehensif berjalan lancar,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) pada persidangan Dun hari ini.
Sebelum itu Adun terbabit meminta kerajaan menyatakan sejauh mana perkembangan Projek Pembangunan Wilayah ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Tok Bali.
Wan Hassan juga membangkitkan masalah pemendapan dan cetak air untuk menjadikan Tok Bali Suplly Base (TBSB) sebagai pelabuhan komersial.
Menteri Besar berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali turut membincangkan isu pemendapan di kawasan berkenaan.
“Mengenai isu yang berbangkit, kerajaan telah membuat penelitian dan pemerhatian terhadap cadangan yang dikemukakan dengan membuat kajian bagi mengatasinya,” kata beliau. –











