
KUANTAN: Mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara tanpa dibebani dengan kemelut yang tidak berkesudahan mestilah menjadi dukungan setiap Ahli Dewan Negeri.
ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud berkata, Titah DiRaja pada Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Pahang itu adalah saranan serta nasihat supaya memberikan tumpuan dan keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat.
Menjunjung kasih Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, beliau menyifatkan titah Baginda itu adalah demi melihat keamanan dan kemakmuran semua.
“Titah Tuanku juga selari dengan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dikemukakan pada tahun 2015 oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” ujarnya mengulas titah rasmi yang disampaikan Baginda di Dewan Sri Pahang, di sini kelmarin.
Menurut beliau, menerusi seruan BPMS itu, ruang kerjasama dibuka kepada semua terutama Melayu-Islam termasuk melibatkan masyarakat majmuk yang tidak ekstrem, sekali gus menolak politik kacau bilau dan melampau.
Katanya, wakil rakyat juga mestilah taat setia untuk sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang seperti dititahkan Baginda.
ADUN Beserah, Andansura Rabu pula menjunjung kasih Baginda Tuanku Pemangku Raja Pahang yang bertitah supaya pentadbiran negeri ini menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Tegas beliau, semua pihak berperanan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan alam sekitar kekal dipelihara dan dipulihara agar pencemaran dan bencana alam dapat dielakkan dari terjadi.
“Penjagaan Alam Sekitar di Hutan Simpan Tasik Chini, Tasik Bera dan di kawasan tanah tinggi perlu diperluaskan lagi penjagaannya agar terus terpelihara dan selamat dari berlakunya pencemaran alam sekitar.
“Juga dari banjir di kawasan hilir sungai, hakisan tanah, penyahhutanan, pemusnahan tadahan air. Selain pengurusan di kawasan tanah tinggi adalah mustahak untuk mengawal kemerosotan persekitaran demi menjaminkan kelestarian.
“Manakala dari segi Sosial pula, rakyat perlu dibantu ketika sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai tertekan kerana kemerosotan ekonomi sehingga kehilangan kerja dan pendapatan.
“Kita memerlukan usaha sama dan sokongan daripada semua pihak untuk memastikan ekonomi akan dapat dibangunkan segera dengan cara yang lebih berkesan,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Menyentuh mengenai Tadbir Urus, beliau berharap ia akan lebih baik terutama dalam penguatkuasaan dan peruntukan undang-undang supaya pelaksanaan tugas tanpa ada rasa bimbang atau takut, sebaliknya telus dan kompeten. – HARAKAHDAILY 25/8/2021











