Model kepimpinan dan krisisnya

- Advertisement -

PERTAMA: Model kepimpinan para Nabi A.S

Para Nabi terdahulu ada yang memimpin negara, ada yang tidak. Nabi Daud A.S merupakan pemerintah Palestin. Manakala anaknya, Nabi Sulaiman A.S memimpin dunia mengikut pendapat Ibnu Athir dalam al Kamil fit Tarikh dan lain-lain. 
Nabi Muhammad S.A.W memimpin negara. Nabi Yusuf A.S sebagai Menteri, bersama kerajaan yang memimpin. Raja Iskandar Zulkarnain, walaupun para sejarahwan berselisih pendapat mengenai status kenabiannya, namun, kisahnya disebut di dalam al-Quran sebagai seorang pemerintah yang baik. 

- Advertisement -

Allah S.W.T menyediakan contoh-contoh pengurusan negara yang baik melalui kisah kisah mereka. 

Ilmu

Kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S di dalam Surah an Naml (ayat 15) dimulakan dengan kepentingan ilmu bagi pemerintah. FirmanNya:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”. 

(an-Naml: 15)

Pemerintah mestilah seorang yang berilmu. Hal ini juga disebut di dalam Surah al Baqarah (ayat 247) bahawa Thalut adalah seorang berilmu, yang menjadi kriteria pilihan untuk memimpin Bani Israel. FirmanNya:

قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ

“Nabi mereka berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi Raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.”

(al-Baqarah: 247)

Bahkan, antara yang disebut oleh Allah S.W.T di dalam Surah al-Baqarah mengenai kisah penciptaan Nabi Adam A.S. Para malaikat bertanya kepada Allah S.W.T mengenai rasional penciptaan manusia sebagai khalifah. Lalu Allah S.W.T menjawab; 

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah: 30)

Bukan sekadar jawapan sedemikian, tetapi Allah S.W.T turut menceritakan rasional penciptaan-Nya dengan membuktikan ilmu yang ada pada Nabi Adam A.S:

قَالَ يَا آدَمُ أَنبِئْهُم بِأَسْمَائِهِمْ ۖ فَلَمَّا أَنبَأَهُم بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

“Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.”

(al-Baqarah: 33)

Justeru, kita perlu faham bahawa ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam A.S merupakan sebab kenapa Baginda A.S diangkat menjadi khalifah di atas muka bumi. Bahkan ilmu itu juga dibuktikan kepada para malaikat, dan diakui oleh mereka mengenai kehebatan ilmu tersebut. 

Dipercayai

Nabi Muhammad S.A.W dikenali sebagai ‘al Amin’ yang bermaksud dipercayai. Nabi S.A.W sejak daripada kecil lagi sudah dikenali oleh masyarakat sebagai seorang yang boleh dipercayai. Kepercayaan terhadap Baginda S.A.W bukanlah dibuat-buat, sebaliknya ia merupakan satu sifat yang tersebati di dalam dirinya.

Ibnu Hisyam menceritakan bahawa ketika Kaabah rosak disebabkan banjir, orang Quraisy telah bergotong-royong untuk memperbaikinya. Sehinggalah saat ketika sampai pada proses mengangkat dan meletakkan semula Hajar Aswad ke tempat asalnya semula, terjadinya perselisihan antara mereka. Masing-masing suku atau kabilah ingin mendapat kehormatan untuk melakukan tugasan tersebut.

Akhirnya mereka memutuskan supaya urusan itu diserahkan kepada orang yang mula-mula memasuki pintu Shafa. Mereka pun berhenti bekerja dan menunggu orang pertama yang akan memasuki pintu Shafa tersebut.

Tidak lama setelah itu, muncullah Muhammad bin Abdullah (pada ketika itu Baginda S.A.W belum lagi dilantik menjadi Nabi dan Rasul). Apabila mereka melihat Nabi S.A.W, mereka menyatakan:

هذا الأمين، رضينا، هذا محمَّد

“Itu dia al-Amin, orang yang terpercaya. Kami rela menerima semua keputusannya, ini adalah Muhammad.”

Antara penekanan Baginda S.A.W terhadap kejujuran berdasarkan sabdanya:

يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ 

“Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”

(Riwayat Imam Ahmad 22170)

Komunikasi yang baik

Dalam Surah an-Naml juga menceritakan bagaimana kelebihan yang diberikan kepada Nabi Sulaiman A.S ialah komunikasi yang baik dengan rakyatnya. FirmanNya

وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ

“Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan);…”

(an-Naml: 16)

Sama juga kisah yang Allah S.W.T gambarkan mengenai komunikasi Raja Zulqarnain di dalam Surah al-Kahfi, iaitu beliau pergi ke Timur dan Barat membawa penyelesaian bagi isu Umat. Dalam kisah Raja Zulqarnain, Allah menceritakan aduan rakyatnya yang sedang berdepan dengan ancaman Ya’juj dan Ma’juj. 

Sekalipun bahasa rakyatnya itu sukar difahami, namun Raja Zulqarnain tetap memenuhi permintaan mereka dan tidak menjadikan masalah komunikasi sebagai alasan:

 وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا 

“… Dia (Zulqarnain) berjumpa dengan kaum antara dua (lereng bukit) yang hampir tidak difahami kata-kata mereka…”

(al-Kahfi: 93)

Cermat dalam menghukum

Kecermatan Nabi Sulaiman A.S ketika mendapati ketidakhadiran burung Hudhud:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ 

“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?””

(an-Naml: 20)

Ini menunjukkan bahawa Baginda A.S tidaklah gopoh dalam menghukum, bahkan melakukan penyiasatan dan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu. Lalu burung Hudhud diminta untuk memberi penjelasan. Penjelasan tersebut mestilah dengan alasan yang konkrit untuk diterima. 

Sesudah memberi penjelasan, Nabi Sulaiman A.S berkata sepertimana firmanNya:

قَالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

“Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.”

(an-Naml: 27)

Ayat-ayat ini jelas menunjukkan kepimpinan teladan Nabi Sulaiman A.S sangat cermat membuat keputusan, tidak gopoh, dan tidak mudah percaya dengan alasan yang diberikan. Sebaliknya menyiasat terlebih dahulu sejauh mana, konkritnya penjelasan burung Hudhud tersebut. 

Kedua: Krisis kepimpinan Bani Israel

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menceritakan mengenai konflik dan pertikaian Bani Israel terhadap jawatan. Ia bermula daripada serangan luar terhadap mereka yang mendiami Palestin ketika itu. Antara faktor terbesar kekalahan mereka ketika itu ialah ketiadaan pimpinan yang layak untuk memimpin mereka.

Kisah mereka

Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah 246 dan 247:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ إِذْ قَالُوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا تُقَاتِلُوا ۖ قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِن دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا ۖ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (246)

“Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), mengenai (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: 

“Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” 

“Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,”

“Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” 

“Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (247)

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu”

“Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” 

“Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi Raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. 

“Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”

Ringkasan cerita

Kedua-dua ayat ini menceritakan bagaimana perangai Bani Israel yang suka beralasan. Ketika di zaman Nabi Musa A.S, Baginda A.S suruh berperang, mereka enggan dan keras kepala. Tetapi apabila mereka diserang, barulah mereka sedar pentingnya keperluan untuk berperang itu.

Lalu golongan kayangan di kalangan mereka memohon kepada Nabi mereka supaya dilantik pimpinan di kalangan mereka itu. Kononnya untuk berperang mempertahankan tanah air. Tetapi apabila Allah S.W.T melantik Thalut yang bukan dari kalangan kayangan, mereka menolaknya.

Mereka merasakan bahawa mereka lebih berhak terhadap jawatan itu. Antara sebabnya Thalut bukanlah orang yang berharta. Sebaliknya Allah S.W.T menceritakan secara rasional kenapa Thalut dipilih ialah disebabkan ilmu dan tubuh yang kuat.

Kesimpulan

Berdasarkan ciri-ciri kepimpinan yang dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran, jelas menunjukkan bahawa para Nabi A.S merupakan model kepimpinan yang terbaik. Ciri-ciri yang dinyatakan itu penting untuk melaksanakan agenda rakyat, dan menjadi orang yang dipercayai. 

Kisah Bani Israel yang berhadapan dengan krisis kepimpinan, akhirnya tidak dapat diselesaikan dengan baik. Iaitu apabila pimpinan yang dilantik oleh Allah S.W.T pun dipertikai oleh para pembesar mereka dengan menganggap bahawa mereka lebih layak terhadap jawatan itu, dengan menyatakan:

نحن أحق بالملك منه

“… Kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya”

Sebab itulah Islam menggariskan pentingnya ilmu dalam kepimpinan. Segala keputusannya perlu diukur dengan rasional yang baik. Kepimpinan yang naik atas faktor hawa nafsu dan loba, bukan atas dasar ilmu dan pengetahuan hanya akan merugikan kepentingan rakyat dan negara.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051781123067/posts/327247359011299/

- Advertisement -